Tak betul dakwaan nak kahwin kena tanggung cukai SST 8 peratus
Dakwaan seorang TikTokers kononnya pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga selepas 1 Julai ini akan dikenakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) adalah tidak benar.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pasar Mas, Wan Abd Hadi Hakimi Wan Mohd Nawi berkata, semakan semula pelaksanaan SST hanya dikenakan terhadap syarikat dan penyedia perkhidmatan yang mempunyai perolehan sebanyak RM500,000 setahun.
“Kalau buat majlis dengan peruntukan RM10,000 hingga RM20,000, pelamin pun bawah khemah, tak kena SST,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar penerangan mengenai SST lapan peratus dilakukan secara bertanggungjawab.
“Beri penerangan yang betul mengenai semakan semula cukai SST lapan peratus. Bukan semua benda kena cukai,” tegasnya.
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial dakwaan seorang wanita, kononnya bermula 1 Julai ini, kos belanja majlis kahwin akan naik kerana dikenakan SST lapan peratus.
Pengguna TikTok @ringgitzz berkenaan dalam satu reaksinya menganggap pemilik butik pengantin akan terjejas dengan peluasan skop SST.
“RM4,500 × 8 hari = RM36,000 sebulan. RM648,000 setahun. Kau masih ingat butik pengantin kecil tak kena cukai?” soalnya.
BACA JUGA SKMM rakam keterangan pemimpin Pas muat naik kandungan jelik berunsur perkauman