Penjawat awam letak harapan tinggi, mahu Kota MADANI dilaksana sungguh-sungguh
Konsep Kota MADANI yang diperkenalkan kerajaan mendapat sambutan dari penjawat awam yang mahu ia terus dilaksanakan dan tidak berhenti di tengah jalan.
Mereka melihat inisiatif ini bukan sekadar membina bandar yang cantik, tetapi membawa kesan langsung kepada kehidupan harian, budaya kerja dan kesejahteraan warga Putrajaya.
Salah seorang penjawat awam, Norshimah Ariffin berkata, Kota MADANI sangat relevan dengan keperluan semasa, terutama dalam membantu penjawat awam menghadapi cabaran kos sara hidup dan tekanan kerja.
“Kalau laksanakan secara praktikal, ia boleh membantu meringankan beban harian yang ramai daripada kami tanggung seperti kos pengangkutan, perumahan dan penjagaan anak.
“Bila bandar lebih terancang dan menyokong kehidupan seharian, kita tak hanya bekerja dengan tenang, tapi juga lebih bersemangat kerana kita tahu kebajikan kita diambil kira.
“Saya harap konsep ini bukan sekadar nama tapi betul-betul diterjemahkan dalam tindakan. Biar semua orang tak kira penjawat awam ke atau warga putrajaya ke boleh rasa impaknya,” katanya dalam satu video dimuat naik Jabatan Penerangan Malaysia di TikTok rasmi mereka.
Bagi Sulastri Mohd Juki, konsep berasaskan nilai seperti Kota MADANI mampu membentuk budaya kerja yang lebih harmoni dan terbuka dalam kalangan penjawat awam.
Baginya, perubahan yang dibawa melalui konsep ini sememangnya memerlukan masa, namun penting untuk membina budaya kerja yang lebih sihat.
“Saya anggap ia satu usaha yang positif sebab projek ini cuba untuk hidupkan bandar dengan nilai dan bukan sekadar bangunan atau pejabat.
“Harapan saya semoga konsep ini terus diperkasa dan tak hilang momentum. Perubahan budaya ambil masa tapi penting untuk masa depan negara,” ujarnya.
Sementara itu Nur Azmina Aini Aminuddin pula berpendapat idea Kota MADANI adalah satu pendekatan menyeluruh yang memberi impak langsung kepada gaya hidup dan kesejahteraan penjawat awam.
Dia menekankan bahawa pelaksanaan yang menyeluruh mampu meringankan beban harian warga kerja kerajaan, selain menyokong kesihatan mental dan keseimbangan hidup.
“Saya berharap sangat Kota MADANI dapat membantu meringankan beban kehidupan kita terutama dari segi kos harian dan tekanan hidup warga kerja Putrajaya,” katanya.
BACA JUGA Prestasi ekonomi negara semakin baik, kempen ‘Turun Anwar’ tindakan terdesak