SKMM rakam keterangan pemimpin Pas muat naik kandungan jelik berunsur perkauman
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan siasatan dan merakam keterangan seorang individu susulan kandungan jelik bersifat perkauman yang dimuat naik di platform media sosial miliknya.
Individu itu dipercayai adalah pemimpin Pas kerana menurut SKMM, dia telah menyentuh pelantikan Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu dengan naratif perkauman yang berpotensi mencetus provokasi serta menggugat perpaduan dan keharmonian negara.
“Susulan itu, individu tersebut telah dipanggil bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan.
“MCMC turut menyita satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC ingin mengingatkan orang ramai agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan sebarang kandungan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R), terutamanya yang boleh memecahbelahkan masyarakat serta menggugat keharmonian negara.
Terdahulu Ketua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad dikecam banyak pihak selepas memuat naik hantaran berbaur perkauman, mengenai pelantikan perdana menteri berketurunan Cina pada 2058.
Hantaran itu lengkap dengan gambar penganugerahan pangkat leftenan jeneral ATM kepada Johnny Lim Eng Seng.
Beliau bagaimanapun berdalih dengan mengatakan gambar itu sekadar hiasan. Hantaran itu kemudian dipadam selepas menjadi isu panas.
BACA JUGA Prestasi ekonomi negara semakin baik, kempen ‘Turun Anwar’ tindakan terdesak