Tun M anggap adat ditegak walau tidak selari dengan undang-undang, ini reaksi netizen
Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat kebelakangan ini adat ditegakkan walaupun tidak selari dengan undang-undang.
Menerusi hantaran di platform X hari ini, bekas Perdana Menteri dua kali tersebut menegaskan sepatutnya, undang-undang mengatasi adat.
Namun, dakwanya, Raja-raja kini diminta untuk menyelesaikan masalah politik.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi berkenaan berkata, undang-undang, dasar dan tindakan mesti selaras dengan undang-undang asas yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Apabila adat melanggar undang-undang, Perlembagaan menjadi tidak relevan.
“Kedaulatan undang-undang akan lenyap. Kita akan kembali ke titik permulaan.
“Itulah pilihan Malaysia,” kata Mahathir.
Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata menempelak pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.
Pengguna X, @ksampoh berkata, beliau bersetuju Malaysia mesti mempertahankan Perlembagaan namun usah dilupakan bukan adat yang mengkhianati Perlembagaan.
Tegasnya, pengkhianatan terhadap Perlembagaan berlaku ketika Mahathir merosakkan badan kehakiman, memenjarakan pengkritik tanpa perbicaraan, melemahkan institusi raja-raja, dan menormalisasikan pemerintahan autoritarian.
“Kini Tun pula memberi syarahan tentang ‘kedaulatan undang-undang’,” sinisnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna X, ncn mengingatkan bahawa Perlembagaan ialah undang-undang tertinggi negara dan segala-galanya termaktub dalam Perlembagaan.
“… daripada ikrar yang dilafazkan oleh penjawat awam dan ahli politik yang dipilih, hinggalah kepada Rukun Negara.
“Jadi, adakah hantaran ini boleh dianggap sebagai hasutan?” soalnya.
BACA JUGA Penjawat awam letak harapan tinggi, mahu Kota MADANI dilaksana sungguh-sungguh