SPRM mulakan siasatan projek MyKiosk
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan terhadap projek MyKiosk berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, siasatan dibuat selepas agensi rasuah itu menerima aduan daripada sebuah parti politik berkenaan tender pembinaan MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Katanya, KPKT telah mengemukakan laporan penuh berhubung proses dan pemberian tender yang berkaitan, dengan beberapa pihak yang terlibat turut memberi sejumlah dokumen berkaitan projek itu.
Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) telah memulakan proses penyiasatan secara serentak.
“Dalam siasatan ini, SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu pengesanan sekiranya wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, SPRM juga akan meneliti keseluruhan proses tatakelola sekiranya wujud sebarang kepincangan dan pelanggaran peraturan, termasuk sistem dan prosedur yang ditetapkan.
Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009.
KPKT secara sukarela menyerahkan dokumen berkaitan projek MyKiosk kepada SPRM, bagi memastikan tiada elemen salah guna kuasa atau penyelewengan dalam pelaksanaan program itu.
MyKiosk adalah inisiatif KPKT, bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui penyediaan kios perniagaan dengan kadar sewaan yang rendah.
BACA JUGA Himpunan Turun Anwar: Pas mahu tunjuk pandai urus ekonomi tapi negeri sendiri pun gagal