Mahfuz sanggah dakwaan 1 Julai hari hitam, SST tak akan tekan rakyat marhaen
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menepis dakwaan pembangkang yang melabelkan 1 Julai sebagai “hari hitam” berikutan pelaksanaan struktur baharu cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Beliau melihat, kenyataan tersebut hanyalah cubaan populis yang tidak bertanggungjawab, cuba mempermainkan emosi dan membakar sentimen rakyat tanpa fakta dan pertimbangan rasional terhadap keperluan semasa negara.
Apa yang lebih penting adalah, fakta bahawa SST tidak dikenakan kepada barangan keperluan harian seperti beras, ayam, telur, sayur, ikan, ubat, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
“SST menyasarkan perbelanjaan mewah dan bukan keperluan asas. Maka yang banyak terkesan adalah mereka yang berkemampuan tinggi bukan rakyat kebanyakan.
“Hasil SST dan penyasaran semula subsidi disalurkan terus kepada rakyat melalui program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Warga Emas (BWE) jualan rahmah, jualan agro madani, subsidi bahan api, bantuan awal persekolahan, bantuan Awal IPT, Klinik Madani dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz membandingkan kadar SST Malaysia yang hanya 8 peratus dengan beberapa negara jiran seperti Singapura (GST 9%), Filipina (VAT 12%) dan Indonesia (VAT 11%), sambil menegaskan kadar Malaysia masih antara yang terendah di rantau ini.
“Tanpa kutipan hasil melalui sistem cukai yang baik, negara akan terus bergantung kepada hutang. Adakah ini yang Pas nak cadangkan, hutang demi hutang untuk tampung perbelanjaan negara?” katanya.
Beliau turut membidas pembangkang kerana hanya tahu menentang tanpa memberi cadangan membina, sedangkan mereka juga mengutip hasil dan cukai di negeri-negeri yang mereka tadbir.
“Mereka menentang tanpa cadangan yang membina. Ketika mereka mentadbir negeri, mereka juga mengutip hasil dan cukai.
“Tapi apabila kerajaan pusat bertindak untuk memperkukuh kewangan negara secara berhemah, mereka main sentimen untuk kelirukan rakyat.
“Saya percaya rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan permainan persepsi yang dibina pembangkang. Kita perlu berani melakukan pembaharuan demi kelangsungan ekonomi yang adil dan berdaya tahan,” katanya lagi.
BACA JUGA Himpunan ‘Turun Anwar’ tak bertanggungjawab, sengaja gugat kestabilan politik