Himpunan ‘Turun Anwar’ tak bertanggungjawab, sengaja gugat kestabilan politik

Tindakan segelintir pihak menganjurkan himpunan ‘Turun Anwar’ dianggap sebagai langkah terdesak dan tidak bertanggungjawab, bertujuan menggugat kestabilan politik negara.

Exco Wanita PKR, Noraziah Mohd Razit berkata, himpunan sedemikian bukan sahaja tidak relevan, malah bercanggah sama sekali dengan realiti semasa yang mana ketika ini menyaksikan ekonomi negara semakin pulih, keyakinan pelabur terus mengukuh, dan pelaksanaan dasar-dasar reformasi mula menampakkan hasil nyata.

Katanya, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Perdana Menteri telah melaksanakan pelbagai langkah tegas dan berani termasuk membanteras ketirisan serta pembaziran dalam pentadbiran, dan merancakkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) secara konsisten dan strategik.

Selain itu, kerajaan telah memperkukuh jaringan keselamatan sosial melalui pelaksanaan subsidi bersasar dan program bantuan inklusif,memperkenalkan dasar gaji progresif, serta memperjuangkan agenda pemerkasaan wanita dan belia sebagai tunjang penting dalam pembangunan negara secara menyeluruh.

“Ironinya, pada saat negara sedang melangkah keluar daripada belenggu ketidaktentuan pasca-pandemik dan krisis politik lalu, masih wujud segelintir pihak memilih untuk mengheret rakyat ke dalam kancah permainan persepsi dan politik jalanan yang langsung tidak menyumbang kepada kemajuan mahupun masa depan negara.

“Saya percaya bahawa suara rakyat sebenar adalah suara yang mendambakan kestabilan, kemajuan dan keadilan bukannya retorik perpecahan, didorong oleh kepentingan politik sempit dan nafsu kuasa yang rakus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Noraziah menyeru semua pihak agar menghormati mandat rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan untuk memimpin agenda pembaharuan negara.

Beliau juga menempelak bahawa desakan ‘Turun Anwar’ merupakan tindakan dangkal yang tidak berpijak di bumi nyata serta langsung tidak mencerminkan aspirasi majoriti rakyat Malaysia yang mahukan kestabilan.

BACA JUGA Baru tahu bukan Tengku Maimun saja, 3 bekas Ketua Hakim Negara ini juga tak disambung kontrak