Baru tahu bukan Tengku Maimun saja, 3 bekas Ketua Hakim Negara ini juga tak disambung kontrak

Persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara pada usia 66 tahun menepati peruntukan Perlembagaan dan bukan suatu perkara luar biasa, sebagaimana yang cuba digambarkan oleh pembangkang.

Berbeza dengan sejarah hitam kehakiman negara pada tahun 1988 apabila Tun Salleh Abas dipecat secara zalim, kali ini tiada pemecatan, tiada tekanan, dan tiada tangan ghaib.

“Tun Maimun tak dipecat. Dia bersara ikut undang-undang. Ini bukan zaman Mahathir pecat Tun Salleh Abas. Ini zaman Anwar Ibrahim, zaman hukum, bukan dendam,” kata aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali.

Fakta yang perlu difahami:

1) Pelantikan dan persaraan hakim tertakluk kepada Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan di mana umur persaraan wajib ialah 66 tahun dan 6 bulan.

2) Tun Maimun bersara ikut undang-undang, bukan dipecat atau disingkir. Ini penghormatan, bukan konspirasi.

3) PMX tidak campur tangan dalam sebarang kes mahkamah termasuk kes Najib Razak, Zahid Hamidi, Lim Guan Eng dan Syed Saddiq.

Pun begitu, Ahli Parlimen pembangkang seperti Ahmad Fadhli Shaari dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempertikai mengapa Tun Maimun tidak disambung sedangkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki diberikan lanjutan.

Mohd Hisyamuddin atau Syam Ghaz berkata, perbandingan itu mengelirukan kerana SPRM adalah agensi eksekutif di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Manakala pelantikan Ketua Hakim Negara dibuat secara berasingan melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang ditubuhkan pada 2009, dan bukannya ikut suka Perdana Menteri untuk menyambung.

Tiga Ketua Hakim Negara lain yang bersara pada usia 66 tahun dan tidak disambung kontrak:

1) Tun Abdul Hamid Mohamad
Menjawat jawatan sebagai Ketua Hakim Negara dari 2 November 2007 hingga 18 Oktober 2008. Beliau bersara pada umur 66 tahun dan tidak diberikan lanjutan perkhidmatan, meskipun mempunyai pengalaman luas sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

2) Tun Zaki Azmi
Berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara dari 18 Oktober 2008 hingga 9 September 2011. Beliau juga bersara tepat pada umur 66 tahun, tanpa sebarang sambungan. Tun Zaki terkenal sebagai tokoh yang memperkenalkan reformasi pentadbiran kehakiman, namun tetap mengikuti ketetapan persaraan tanpa lanjutan.

3)Tun Arifin Zakaria
Dilantik sebagai Ketua Hakim Negara dari 12 September 2011 hingga 31 Mac 2017. Beliau bersara pada umur 66 tahun tanpa pelanjutan, mengakhiri khidmatnya dengan penuh hormat dan mengikut Perlembagaan.

Syam Ghaz berkata, JAC mungkin ditubuhkan pada zaman Datuk Seri Najib Razak, tetapi benihnya ditanam oleh Anwar, PR dan rakyat. Tekanan reformasi yang Anwar pimpin sejak 1998 akhirnya ubah sistem yang dulu dikawal tangan politik.

“JAC kini lebih profesional dan terbuka. PM tak arah siapa naik, siapa turun. Tiada PM dalam sejarah Malaysia yang lebih menghormati kebebasan kehakiman berbanding Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Kesimpulannya kata beliau, tiada tradisi sambungan automatik bagi Ketua Hakim Negara.

Oleh itu, jika Tun Tengku Maimun Tuan Mat tidak disambung selepas 1 Julai 2025, ia adalah amalan biasa, bukan luar biasa, dan bukan juga satu bentuk tekanan atau campur tangan politik.

BACA JUGA Lagi kemalangan bas persiaran, dua maut, 16 cedera bertembung lori