Hakim Besar Malaya, Hasnah jalankan tugas Ketua Hakim Negara

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim secara rasmi akan menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas Ketua Hakim Negara berikutan kekosongan selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini, pelaksanaan tugas itu merangkumi fungsi Ketua Hakim Negara di bawah Perlembagaan sehingga jawatan tersebut diisi.

Katanya, ia selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Seksyen 9(1) (b) dan Seksyen 9 (3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].

“Badan kehakiman Malaysia sentiasa kekal teguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini Tengku Maimun dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Mei 2019 bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum.

Hasnah yang telah bersara wajib pada usia 66 pada 15 Mei lepas disambung perkhidmatannya selama enam bulan hingga 14 Nov ini.

BACA JUGA Baru tahu bukan Tengku Maimun saja, 3 bekas Ketua Hakim Negara ini juga tak disambung kontrak