Skandal XFOX dedah kecuaian urus tadbir Terengganu FC

Skandal XFOX–Terengganu FC melibatkan kerajaan negeri Terengganu secara tidak langsung memandangkan kelab bolasepak Terengganu FC (TFC) adalah entiti di bawah naungan kerajaan negeri.

Isu utama adalah ketirisan dalam proses penelitian sewajarnya (due diligence) oleh pihak kerajaan negeri dan kelab sehingga mengakibatkan terjerat dengan syarikat pengurusan pelaburan yang mencurigakan.

Mulanya, XFOX menawarkan diri sebagai penaja platinum TFC dan menjanjikan sumbangan RM1.5 juta serta pembinaan padang sintetik di XFOX Arena, Subang Bestari.

Perjanjian antara TFC dengan syarikat bermasalah itu ditandatangani pada 9 Jun 2024.

Namun, hanya 48 jam selepas perjanjian dimeterai, TFC membatalkan kerjasama secara bersama dan memulangkan kembali wang tajaan RM1.5 juta, tanpa sebarang tuntutan dari kedua-dua pihak.

Walhal, sejak 14 Jun 2023, beberapa entiti berkaitan XFOX (seperti XFOX Market Sdn. Bhd. dan XFOX Market Trust) telah dimasukkan dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana menerima deposit tanpa lesen dan penggunaan struktur keuntungan yang mencurigakan.

Kerjasama Terengganu FC dengan syarikat XFOX Market Holdings Sdn. Bhd. tahun lalu yang bertahan hanya 48 jam dibatalkan selepas dihujani kecaman penyokong kelab itu.

Pakar kewangan syariah, Dr Abdul Rahman A. Shukor menyebut XFOX sebagai syarikat dengan “terlalu banyak red flag” serta mengkritik proses operasi mereka yang tidak mengikut prinsip mudarabah dan menawarkan pulangan bulanan tidak masuk akal iaitu antara 5 hingga 30 peratus.

Selepas lebih setahun pembatalan XFFOX-TFC berlalu, apa yang dibimbangkan banyak pihak terutama penyokong skuad Penyu itu menjadi kenyataan.

Kelmarin, lima individu, termasuk seorang wanita bergelar ‘Datuk’, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima deposit secara haram dan pengubahan wang haram yang berlaku dalam tempoh empat tahun.

Suhaila Semaru

Mereka adalah Datuk Suhaila Semaru, 41, (gambar atas), adiknya Suraya Semaru, 37, dua beradik lelaki Muhammad Wahbah Az-Zuhaili Mohd Ariffin, 33, dan Muhammad Syaabil Ajwad Mohd Ariffin, 26, serta Mohamad Noor Syauqi Shafiee, 30.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir, lapor NST.

Suhaila, selaku pengarah XFOX Market Sdn Bhd, berdepan 22 pertuduhan menerima, memperoleh dan memiliki wang hasil aktiviti haram dianggarkan berjumlah RM13 juta.

Suraya pula, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, berdepan 10 pertuduhan memperoleh, memiliki dan memindahkan wang keseluruhan bernilai RM11.1 juta.

Mohamad Noor Syauqi didakwa atas pertuduhan memperoleh dan memiliki wang sebanyak RM2.5 juta hasil daripada aktiviti haram.

Muhammad Wahbah Az-Zuhaili pula berdepan tujuh pertuduhan menerima, memperoleh dan menggunakan wang berjumlah RM10.3 juta.

Sementara itu, Syaabil Ajwad berdepan tujuh pertuduhan menerima serta satu pertuduhan melupuskan wang berjumlah RM58 juta hasil aktiviti haram.

Siasatan terhadap mereka mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Tanpa lesen

Mereka didakwa melakukan kesalahan di beberapa cawangan bank sekitar Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang antara November 2021 hingga Julai tahun lalu.

Dalam prosiding yang sama, Suhaila, Suraya dan Mohamad Noor Syauqi turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu bersetuju untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat XFOX di Subang Bestari dari 12 November 2021 hingga 30 Julai 2024, mengikut subseksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, dibaca bersama subseksyen 249(1)(a) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta yang sama.

Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Nurdeenie Abd Rashid dan Megat Mahathir Megat Tharih Afendi mencadangkan wang jaminan sebanyak RM1 juta bagi setiap tertuduh dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Mohd Haziq Dhiyaudin Razali pula memohon pengurangan jumlah jaminan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh kepada BNM sepanjang siasatan dan tidak berisiko melarikan diri.

Hakim Anas membenarkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Ogos.

BACA JUGA Skandal XFOX dedah kecuaian kerajaan Terengganu urus tadbir TFC