Terkini KPKT alu-alukan siasatan, terbuka projek Mykiosk disiasat SPRM
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengalu-alukan siasatan yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek MyKiosk.
Dalam satu kenyataan KPKT berkata, kementerian itu secara sukarela telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan pelaksanaan inisiatif MyKiosk kepada SPRM pada 22 Mei 2025.
Ia katanya sebagai langkah penting bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.
“Tindakan ini mencerminkan komitmen KPKT terhadap prinsip integriti dan ketelusan.
“KPKT ingin menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak sekiranya terdapat elemen rasuah atau penyelewengan dalam proses perolehan atau pelaksanaan inisiatif ini di peringkat PBT,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Projek MyKiosk merupakan salah satu inisiatif di bawah KPKT yang bertujuan untuk memperkasa ekonomi peniaga kecil.
Kos siling bagi MyKiosk 2.0 yang ditetapkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan adalah RM25,000 setiap unit.
Semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka.
Sebanyak 795 kontraktor MyKiosk telah dilantik oleh PBT masing-masing di seluruh negara dalam pembelian dan penempatan MyKiosk.
BACA JUGA SPRM mulakan siasatan projek MyKiosk