TNB jawab dakwaan mahasiswa pro-Pas tarif elektrik naik

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menegaskan bahawa bil elektrik bagi kebanyakan pelajar yang menyewa di kediaman biasa atau tinggal di kolej kediaman, tidak akan mengalami sebarang kenaikan, tertakluk kepada corak penggunaan mereka.

Menurut kenyataan TNB hari ini, sebahagian besar mahasiswa tidak terkesan dengan sebarang kenaikan tarif kerana mereka termasuk dalam kategori pengguna domestik yang mewakili lebih 23 juta isi rumah seluruh negara.

Syarikat utiliti negara itu memaklumkan institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institusi pendidikan lain juga ditawarkan rebat 10 peratus, selain tawaran Insentif Cekap Tenaga, skim Masa Pengunaan dan Program Rebat Bil Elektrik RM40.

“TNB mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan beberapa pihak, termasuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), berhubung kesejahteraan mahasiswa susulan pelaksanaan semakan tarif elektrik yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu.

“Sebagai pembekal tenaga utama negara, TNB sentiasa peka terhadap keperluan pengguna dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pelajar,” jelas TNB hari ini.

Penjimatan tenaga

Terdahulu, Gamis antara lain mendakwa industri berkaitan barangan dan perkhidmatan yang terlibat dengan kenaikan tarif elektrik akan memindahkan kos operasi kepada pengguna rakyat Malaysia.

Pertubuhan pro-Pas itu juga berkata, kenaikan tarif elektrik selain pelaksanaan peluasan SST memberi kesan rantaian kepada setiap lapisan masyarakat termasuk mahasiswa dan belia.

Sehubungan itu, dalam memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Kewangan semalam, Gamis menuntut penjelasan secara terperinci berkenaan kenaikan tarif elektrik selain SST.

Presiden Gamis, Azamuddin Sahar ketika sesi penyerahan memorandum kos sara hidup kepada MOF pagi semalam.

Menjelaskan lebih lanjut, TNB memaklumkan melalui Insentif Cekap Tenaga, ia diberi kepada pengguna domestik yang mencatat penggunaan di bawah 1,000 kWj sebulan, dengan menggalakkan amalan penjimatan tenaga dan mengurangkan bil bulanan mereka.

Menurut TNB, langkah tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan kos, tetapi turut menyokong matlamat tenaga mampan negara.

“Di samping itu, pelaksanaan skim Masa Pengunaan (Time of Use – ToU) membolehkan pengguna, termasuk mahasiswa, menjimatkan bil elektrik dengan mengalihkan penggunaan ke luar waktu puncak.

“Sebagai contoh, penggunaan peralatan elektrik berat seperti mesin basuh, penghawa dingin atau komputer boleh dijadualkan pada waktu luar puncak untuk menikmati kadar tarif yang lebih rendah,” katanya.

Jelas TNB, melalui pemberian rebat 10 peratus yang turut diberikan kepada rumah kebajikan dan rumah ibadat, ia adalah langkah langsung untuk membantu institusi pendidikan menguruskan kos operasi dengan lebih cekap, sekali gus mengelakkan sebarang implikasi kos yang boleh membebankan pelajar.

Katanya, Program Rebat Bil Elektrik RM40, iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 juga diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Ia termasuk keluarga pelajar daripada golongan B40 yang mungkin turut menerima manfaat secara tidak langsung melalui bantuan ini.

“Semua langkah itu mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam melindungi sektor pendidikan dan golongan yang memerlukan,” katanya.

Sebagai rakan pembangunan negara, TNB menambah, pihaknya komited untuk memastikan kebajikan rakyat, termasuk pelajar, terbela dan pada masa yang sama melaksanakan pembaharuan sistem tenaga secara mampan dan bertanggungjawab.

BACA JUGA Bagaimana tanpa projek raksasa, FDI era MADANI boleh melonjak luar biasa?