Apa beza pembangunan Islam di Kelantan dengan negeri bukan dikuasai Pas?
Kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Mohd Amar Abdullah yang menggariskan empat kejayaan besar parti itu sepanjang lapan penggal memerintah Kelantan sejak 1990 mengundang persoalan.
Mohd Amar yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas mampu menunjukkan kepada seluruh negara bahawa Islam bukan sekadar sesuai untuk urusan ibadah dan masjid.
Sebaliknya, kata beliau, Islam juga mampu menjadi asas kepada pentadbiran sebuah kerajaan yang moden dan stabil, dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.
Mengulas ‘kejayaan’ pertama Pas dalam menerajui Kelantan, Naib Pengerusi AMANAH negeri, Ustaz Che Ibrahim Mohamed berpendapat ia hanya satu dakwaan yang terlalu indah daripada segi kata-kata tetapi kosong dari segi realitinya.
“Jika dalam tempoh lebih 35 tahun Pas memerintah Kelantan dengan slogan “Membangun Bersama Islam” telah berjaya membuktikan satu model pentadbiran Islam di zaman ini, maka apa bezanya pembangunan Islam yang berlaku di negeri-negeri bukan bawah Pas?
“Sila senaraikan lima kejayaan Membangun Bersama Islam yang telah dicapai oleh Pas di Kelantan yang tidak berlaku di negeri-negeri lain yang ditadbir oleh parti bukan Pas?” soalnya.
Bukan jalan bertentangan
Satu lagi perkara yang dianggap Mohd Amar sebagai kejayaan Pas menerajui Kelantan ialah negeri itu, dakwanya, contoh Islam dan pembangunan bukan dua jalan yang bertentangan.
Walau bagaimanapun, Ustaz Che Ibrahim mempersoalkan apa perbezaan nyata pembangunan di Kelantan dengan pembangunan yang berlaku di luar Kelantan.
Perkara tersebut, ujarnya, sama ada dari segi prasarana, kemudahan asas, kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya sehingga Pas layak mendakwa telah berjaya membuktikan pembangunan yang parti itu lakukan adalah selari dengan Islam.
“Satu-satunya perbezaan ketara yang ambo (saya) nampak ialah pembangunan tanah, apa yang dilakukan di Kelantan amat berbeza dengan apa yang berlaku di negeri lain,” katanya.
Menurutnya, tanah-tanah di Kelantan kebanyakannya diberi milik kepada agensi kerajaan, perbadanan atau atas nama “Badan Kebajikan”.
Namun, hampir kesemua tanah terbabit diberi pajakan kepada syarikat-syarikat tertentu dengan pemberian tempoh sehingga 90 tahun.
Malah, tegasnya, hampir semua syarikat tersebut dimiliki oleh bukan Melayu.
“Adakah ini satu model pembangunan tanah mengikut Islam?” bidas beliau lagi.
BACA JUGA Menteri DAP anggap menantu Presiden Pas cuba cipta persepsi jahat