Menteri DAP anggap menantu Presiden Pas cuba cipta persepsi jahat

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menyifatkan Tindakan menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyerahkan surat tuntutan (LOD) ketika pusat khidmatnya ditutup bertujuan menimbulkan persepsi jahat.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, pusat khidmatnya ditutup semalam kerana semua kakitangan menghadiri upacara penghormatan terakhir untuk mendiang datuknya.

Jelasnya, perkara itu turut dimaklumkan lebih awal melalui notis yang ditampal di pintu utama pejabat.

“Saya sentiasa mengalu-alukan semua pihak yang nak melawat ke pejabat saya, tak kira kaum, agama, malah parti politik.

“Sebelum ini pun ada orang parti dia yang datang pohon bantuan dari pejabat saya.

“Tapi yang jadi tanda tanya ialah, pemimpin Pas itu kata dia telah mai (datang) dua kali hari tu, pada jam 3.30 dan 5.15 petang.

“Namun, pintu pejabat tak buka, seolah-olah nak cipta persepsi bahawa pusat khidmat saya tidak beroperasi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Selain notis makluman mengenai penutupan pejabat itu, jelasnya, terdapat empat nombor telefon terpapar dinotis jika ada apa-apa isu kecemasan.

Sehubungan itu, kata Sim, tindakan pemimpin Pas berkenaan adalah sama ada kerana dia tidak tahu baca bahasa Melayu ataupun memang sengaja hendak mencipta persepsi jahat.

Menurut pemimpin DAP berkenaan, hal ini bukan kali pertama pemimpin Pas tersebut mencipta persepsi yang bukan-bukan terhadap lawan politiknya.

“Sebelum ini, dia telah memuat naik gambar pelantikan Leftenan Jeneral Johnny Lim dan membuat provokasi perkauman konon satu hari nanti mungkin orang Cina akan jadi Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, Sim turut menyatakan kesediaan untuk berdepan tindakan undang-undang daripada Zaharuddin.

Bahkan, Timbalan Setiausaha Agung DAP berkenaan berkongsikan serangkap pantun yang ditujukan kepada Zaharuddin.

Adat berkunjung, harus memaklum,
Adat bertandang, elok dijemput;
Kilat bersabung, hujan pun belum,
Tuan memberi, saya menyahut.

“Jumpa kamu di mahkamah,” tegas Sim lagi.

Sebelum ini, Zaharudin dilaporkan memulakan tindakan undang-undangnya terhadap Sim berhubung dakwaan dia difitnah oleh pemimpin kerajaan MADANI itu.

Zaharudin menerusi klip video yang dimuat naik di akaun Facebook, menuntut permohonan maaf daripada Sim kerana menuduhnya menghina pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Baru-baru ini, menantu Presiden Pas tersebut berkata, kemungkinan satu hari nanti orang Cina menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Hantaran Zaharudin yang mengundang perdebatan orang ramai itu turut melampirkan gambar majlis pemakaian pingat Leftenan Jeneral kepada Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng.

BACA JUGA Nurul Izzah kini Penasihat Strategik SIDEC