Era menara pencakar langit sudah berlalu, kini masa Kota Madani untuk semua
OLEH: A Zahid
Selama bertahun-tahun, pentadbiran terdahulu di Malaysia sering berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit sebagai lambang kemajuan negara.
Setiap kali perdana menteri berganti, maka muncul pula menara baru yang lebih tinggi dan lebih mewah, seolah-olah ukuran kejayaan itu terletak pada ketinggian bangunan, bukan kesejahteraan rakyat.
Namun, era ini berubah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kepimpinan negara.
Di bawah Kerajaan MADANI, pendekatan terhadap pembangunan tidak lagi bersifat simbolik atau berasaskan prestij.
Sebaliknya, misi kerajaan hari ini lebih berfokus kepada pembangunan yang berakar pada realiti rakyat.
Kota Madani adalah manifestasi perubahan ini. Ia bukan sekadar projek perbandaran, tetapi satu falsafah baharu dalam merancang bandar kerana ia merupakan pembangunan berteraskan kesejahteraan manusia, kelestarian alam, dan inklusiviti sosial.
Berbanding bangunan pencakar langit yang gah tetapi eksklusif, Kota Madani dibina dengan kerangka yang inklusif dan merakyat. Ia menyediakan perumahan mampu milik, kemudahan kesihatan dan pendidikan, serta ruang awam yang mesra komuniti.
Ia bukan milik korporat atau elit bandar, tetapi milik semua, khususnya penjawat awam, golongan B40 dan M40 yang selama ini terpinggir dari arus pembangunan fizikal.
Salah satu keistimewaan Kota Madani ialah pendekatannya yang lestari dan kos efektif.
Tidak seperti mega projek pencakar langit yang memerlukan pembiayaan berbilion ringgit dan melibatkan pinjaman besar, Kota Madani dibangunkan secara berperingkat dan bijak merancang bajet, mengikut keperluan semasa dan kemampuan kewangan.
Ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan negara, malah mengurangkan risiko hutang yang membebankan generasi akan datang.
Dari sudut alam sekitar, Kota Madani jauh lebih mampan. Ia tidak memerlukan penebangan hutan besar-besaran atau penggunaan bahan binaan berintensiti karbon seperti projek mega menara.
Sebaliknya, ia menekankan prinsip bandar hijau, dengan kawasan lapang, landskap semula jadi, pengangkutan awam mesra alam dan penggunaan teknologi tenaga boleh diperbaharui.
Pendek kata, Kota Madani adalah projek yang benar-benar “membumi”. Ia mendengar suara rakyat dan memberi solusi kepada masalah sebenar seperti perumahan mahal, kesesakan bandar, kurang akses kepada kemudahan asas, dan pencemaran alam sekitar.
Ia melambangkan Malaysia baharu yang tidak lagi mengejar ketinggian bangunan, tetapi mengangkat martabat rakyat.
Inilah perbezaan paling ketara antara era terdahulu dan era MADANI.
Jika sebelum ini kejayaan dilihat pada menara yang menyentuh awan, kini kejayaan diukur pada sejauh mana rakyat dapat hidup dengan selesa, sejahtera dan bermaruah.
Kota Madani bukan hanya bandar, ia adalah simbol kematangan sebuah negara yang mula membina bukan untuk dilihat, tetapi untuk dirasai manfaatnya oleh semua.
BACA JUGA: Kempen “Turun Anwar” mahu angkat siapa?