Ini sebabnya semakan SST bukan alasan naikkan harga bilik hotel

Pengusaha hotel tidak harus menjadikan semakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai sebagai alasan untuk menaikkan kadar harga bilik.

Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa langkah itu tidak melibatkan sebarang perubahan terhadap cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas penginapan hotel serta makanan dan minuman (F\&B) yang disediakan di premis hotel.

“Semakan SST tidak memberi kesan kepada barangan keperluan asas harian.

“Namun, ia mungkin memberi kesan tidak langsung kepada pengusaha hotel menerusi peluasan skop cukai perkhidmatan ke atas penyewaan premis komersial dan cukai jualan ke atas barangan tertentu seperti makanan laut premium dan buah-buahan import.

“Bagaimanapun, kesan tidak langsung ini dijangka tidak menyebabkan peningkatan kos operasi hotel sehingga 10 hingga 15 peratus,” lapor Bernama.

Terdahulu, beberapa persatuan hotel menyatakan pengusaha mungkin terpaksa menaikkan kadar harga bilik antara 10 hingga 15 peratus susulan semakan semula struktur SST.

MOF berkata, jika terdapat pengusaha hotel yang menggunakan alasan semakan SST untuk menaikkan kadar bilik secara ketara, tindakan lanjut akan diambil oleh kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kerajaan melalui KPDN akan meneliti kesan sebenar pelaksanaan SST terhadap kos operasi hotel-hotel terbabit bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak wajar atau unsur pencatutan,” katanya.

Sehubungan itu, MOF menyeru agar semua pihak industri mematuhi garis panduan sedia ada dan tidak mengambil kesempatan atas dasar fiskal negara yang bertujuan memperkukuh kedudukan kewangan tanpa membebankan pengguna secara tidak adil.

BACA JUGA Apa beza pembangunan Islam di Kelantan dengan negeri bukan dikuasai Pas?