Nurul Izzah kini Penasihat Strategik SIDEC

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, dilantik sebagai Penasihat Strategik Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC).

Pelantikan Timbalan Presiden PKR itu diumum agensi kerajaan negeri itu menerusi Facebook rasmi, malam tadi, sempena sambutan ulang tahun ke-10 SIDEC.

Nurul Izzah, 45, yang juga bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai dilantik atas kapasitinya sebagai Pengerusi Eksekutif Polity yang juga sebuah badan pemikir baharu.

Turut dilantik sebagai Penasihat Strategik SIDEC ialah bekas Naib Presiden NVIDIA Corp dan Foxconn, Datuk Lai Yit Loong, serta Pengarah Foxconn, Dr Chiang Shang-Yi.

SIDEC dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Nurul Izzah itu bertujuan membawa wawasan bernilai dalam dasar awam, pembangunan sosioekonomi dan pemerkasaan digital.

Menurut SIDEC, kesemua pelantikan dibuat menandakan pencapaian penting dalam memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab inovasi serantau dan mempercepatkan ekosistem semikonduktor di Malaysia.

“Pelantikan ini juga merupakan mercu tanda strategik dalam mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pusat inovasi serantau,” katanya.

Anak syarikat milik penuh Invest Selangor Berhad itu ditubuhkan bagi memacu transformasi digital negeri menerusi tiga teras utama, iaitu e-dagang, pembangunan syarikat pemula (startup), serta bandar pintar dan digitalisasi.

BACA JUGA Skandal XFOX dedah kecuaian urus tadbir Terengganu FC