MP Pas ini kuat serang Kerajaan Pusat, kawasan sendiri rupanya banyak zombie pil kuda

Dilihat kuat sungguh menyerang Kerajaan Pusat, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari rupanya tidak menyedari kawasannya sendiri banyak zombie pil kuda.

Pemerhati politik, Syam Ghaz berkata demikian mengulas kejayaan polis Kelantan menumpaskan sindiket pengedaran pil kuda yang menjadikan kandang lembu sebagai stor rahsia aktiviti haram mereka.

Beliau turut menyelar Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas apabila tidak memberi sebarang komentar setakat ini berhubung tangkapan terhadap enam suspek termasuk pasangan suami isteri yang dikatakan memiliki lebih 35.4 kilogram bernilai RM5.04 juta dadah jenis pil kuda.

Ahmad Fadhli Shaari

Sebaliknya, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pun ada mengucapkan Syabas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua agensi terlibat atas kejayaan membanteras sindiket dadah di negeri itu.

“Perangi habis-habisan bukan hanya pengedar, tetapi juga pihak yang bersubahat.

“Negara mesti dilindungi. Teruskan!” kata Mohd Amar menerusi hantaran di Facebook.

Isteri ‘akauntan’

Terdahulu, polis dilapor menumpaskan sindiket dadah yang dipercayai aktif sejak tiga tahun lalu melalui enam serbuan di sekitar Pasir Mas dan Tumpat dalam operasi pada 27 Jun lalu.

Enam suspek tempatan ditahan berusia 25 hingga 39 tahun, termasuk seorang wanita disyaki berperanan sebagai ‘akauntan’ atau pengurus kewangan sindiket, manakala suaminya adalah suspek pertama yang ditahan.

Semua suspek kini direman tujuh hari bermula 28 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam operasi yang menggemparkan negara itu, polis berjaya merampas 35.4 kilogram pil kuda bernilai RM5.04 juta.

Turut disita beberapa aset mewah bernilai RM1.1 juta termasuk beg tangan berjenama, barang kemas dan kereta Mustang Ecoboost 2.3.

Kesemua dadah itu dipercayai akan dijual kepada pelajar, dan jika terlepas ke pasaran, berupaya merosakkan seramai 177,465 individu.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, suspek lain turut memainkan peranan sebagai koordinator, transporter dan penjaga stor.

Malah, jelasnya, ada yang berselindung di sebalik perniagaan sah seperti restoran makanan laut, perniagaan dalam talian dan salon.

BACA JUGA Skandal XFOX dedah kecuaian urus tadbir Terengganu FC