Padah diperdaya ‘ustaz scammer’, mutawif aib dipenjara sebulan di Mekah
Tular di media sosial dakwaan seorang mutawif mengenai individu yang digelarnya ‘ustaz scammer‘ yang telah memperdaya beliau sehingga dipenjarakan sebulan di Mekah.
Mahmood Sa-ah mendedahkan, ‘ustaz scammer’ berkenaan, Farid Abu Auliya mula menghubungi beliau pada 3 Mac 2023 untuk menguruskan rombongan umrah dikendalikannya.
“Pada hari pembayaran hotel, dia (Farid Abu Auliya) mendakwa akaunnya bermasalah dan merayu agar saya bayarkan dahulu.
“Katanya, setibanya di Malaysia, dia akan bayar balik. Atas dasar kasihan dan percaya, saya gunakan nama baik saya untuk buat perjanjian hutang dengan pihak hotel.
“Namun, sebaik dia pulang ke Malaysia — janji tinggal janji,” dedah beliau yang turut berkongsikan foto dan imej Farid.
Menerusi hantaran atas nama akaun Facebook, Medo Ftani, Mahmood mendakwa Farid langsung tidak melunaskan hutang itu.
Bahkan, katanya, Farid mengelak setiap kali beliau cuba untuk bertemu ketika pihak hotel terus mendesak menuntut bayaran.
Lebih malang, kata Mahmood, beliau akhirnya ditangkap dan dipenjarakan di Mekah atas hutang yang beliau tidak lakukan.
Mahmood yang sebelum ini menguruskan jemaah umrah dan haji di Mekah dan Madinah untuk beberapa agensi pelancongan Malaysia akhirnya meringkuk dalam penjara selama empat minggu.
“Bayangkan seksaan mental yang saya lalui — hanya kerana membantu seseorang yang berselindung di sebalik serban dan jubah.
“Semasa saya dalam tahanan, wakil saya cuba menghubungi Farid, namun dia terus senyap, block semua nombor dan media sosial. Semua komunikasi diputuskan.
“Saya akhirnya dibebaskan selepas abang saya membayar hutang kepada pihak hotel,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Mahmood meluahkan beliau hilang segala-galanya daripada sumber pendapatan,n nama disenarai hitamkan serta masa depan gelap akibat perbuatan ‘ustaz scammer’ terbabit.
“Lebih memilukan, dia masih bebas berceramah merata tempat termasuk di Facebooknya walaupun difahamkan tiada tauliah berceramah.
“Sampai bila penunggang agama ini dibiarkan bebas? Di mana penguatkuasaan JAIS?
“Berapa ramai lagi mangsa seperti saya?” soalnya yang menyeru agar kisah beliau yang teraniaya ini disebarkan agar tiada lagi mangsa seperti dirinya.
BACA JUGA Tujuh kenyataan ‘sakit’ Presiden Pas terhadap Kerajaan MADANI