Azmin Ali buka mulut selepas tersebar dakwaan ibu pejabat PN dah tutup
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan satu laporan berita mendakwa ibu pejabat parti itu di Solaris Dutamas telah ditutup sejak Mac lalu.
Dalam satu kenyataan pagi ini, Azmin berkata laporan itu adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya ibu pejabat parti di tempat itu ditutup memandangkan perjanjian penyewaan Ibu Pejabat PN selama 2 tahun telah tamat pada April 2025.
“Perjanjian penyewaan tidak dilanjutkan atas persetujuan bersama di antara pemilik dan penyewa.
“Perkara ini telah dimaklumkan dan mendapat persetujuan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional,” katanya .
Beliau memaklumkan, pentadbiran dan urusan Ibu Pejabat PN masih beroperasi seperti biasa di bawah kendalian pegawai-pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat di lokasi tidak rasmi sementara premis yang baru sedang disiapkan.
Semalam, FMT memetik sumber melaporkan bahawa ibu pejabat PN telah ditutup sejak Mac.
Pemimpin parti mendakwa tidak mengetahui perkembangan ini, dengan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau sendiri tidak tahu mengenai perkara itu kerana bukan lagi setiausaha agung.
BACA JUGA Ada ADUN Pas didakwa dapat peruntukan tapi diberi semua ke tadika Pasti