Himpunan Turun Anwar lesu, ahli Pas tak ramai walau buat di kubu KP Pas Selangor
Program “Himpunan Turun Anwar” anjuran Pemuda Pas Selangor hari ini di Shah Alam dilihat menerima tamparan apabila kehadiran nyata tidak sepadan dengan dakwaan penganjur.
Menurut Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Danial Al-Rashid, walaupun Pas mendakwa lebih 1,000 peserta hadir, pemerhatian media bebas dan saksi awam menunjukkan jumlah yang hadir hanyalah sekitar 100 orang.
“Pemuda Pas mendakwa kehadiran lebih 1,000 peserta, namun pihak media bebas dan pemerhati awam merekodkan jumlah sekitar 100 orang sahaja.
“Jauh sekali dari angka yang cuba ditonjolkan dan lebih memalukan, diadakan di kubu KP (Ketua Pemuda) Pas sendiri di Shah Alam, tetapi langsung tidak mendapat sambutan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Danial turut membangkitkan persoalan besar mengenai kehadiran sayap parti itu sendiri.
Beliau mempersoal di mana pemuda Pas yang lain dan di mana suara solidariti nasional yang kononnya dikatakan lantang.
Beliau menganggap pemilihan lokasi di Shah Alam hanya menyerlahkan penolakan rakyat terhadap pendekatan politik berunsur ekstrem dan provokatif.
“Adakah ini petanda wujud boikot senyap dari dalam menjelang pemilihan parti? Atau adakah akar umbi Pas sendiri mula sedar bahawa pendekatan politik konfrontasi ini tidak lagi relevan?
“Memilih Shah Alam sebagai lokasi hanya mengukuhkan satu hakikat: Rakyat di Selangor, khususnya Shah Alam, tidak bersama agenda ekstrem dan politik sumbang ini,” tempelaknya lagi.
Untuk rekod, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar yang mengetuai program hari ini pernah bertanding di DUN Kota Anggerik tetapi tewas kepada calon PH, Najwan Halimi yang mengaut majoriti 10,834 undi.
Danial berkata, melihat kehadiran yang lesu dalam program itu dan respon negatif, ia hanya mendedahkan kelemahan sebenar kekuatan KP Pas Selangor di lapangan.
Pada masa sama, beliau mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya di Parlimen terhadap Perdana Menteri.
“Sekadar menjerit ‘Turun Anwar’ tidak membawa sebarang nilai. Jika benar mereka yakin, bawalah usul undi tidak percaya di Parlimen. Namun kita tahu, mereka sendiri sedar bahawa angka itu tidak mencukupi.
“Himpunan ini bukan sahaja gagal, malah mencalarkan kredibiliti kepimpinan Ketua Pemuda Pas Selangor sendiri. Rakyat semakin matang, dan tidak lagi mudah dipermain dengan politik penuh kebencian dan ketandusan idea,” ujarnya.
BACA JUGA Terbongkar penceramah sebar video seks rupanya terlibat banyak penipuan