Terbongkar penceramah sebar video seks rupanya terlibat banyak penipuan
Seorang penceramah bebas yang terpalit isu penyebaran video seks bersama isteri-isterinya, didakwa turut terbabit dalam banyak lagi kegiatan penipuan membabitkan perniagaan, pakej umrah dan pembiayaan pusat pengajian agama.
Menurut laporan, puluhan mangsa diperdaya penceramah berusia 39 tahun itu dengan anggaran kerugian kira-kira RM500,000.
Beberapa mangsa telah pun membuat laporan polis, sekali gus mendedahkan tembelang penceramah terbabit.
Salah seorang mangsa yang juga ahli perniagaan mendakwa dia dan suami pernah meminjamkan sejumlah RM60,000 sebagai pinjaman pembiayaan untuk pusat pengajian yang dibangunkan penceramah tersebut.
Lapor Harian Metro, mangsa turut membiayai kos elektrik pusat pengajian berkenaan berjumlah RM5,000 sebulan selama dua tahun.
Tembelang lelaki itu mula terbongkar selepas mangsa diminta membekalkan beg untuk jemaah umrah berjumlah RM40,000 dan penceramah itu berjanji akan membuat bayaran kemudian.
“Selepas beberapa bulan, dia gagal melunaskan bayaran dan kami cuba menghubunginya tapi gagal.
“Suami dan rakan pergi berjumpanya untuk menuntut hutang pada April 2023, namun perkara sebaliknya berlaku apabila mereka pula dimarahi dan ditengking,” katanya seperti dilapor.
Sejak kejadian itu, katanya, mereka sudah tidak lagi berhubung dan membuat dua laporan polis kerana mengalami kerugian lebih RM200,000 akibat diperdaya lelaki terbabit.
Sementara itu, seorang penjawat awam yang enggan dikenali berusia 52 tahun mendakwa turut kerugian lebih RM9,000 akibat terpedaya dengan pakej umrah ditawarkan lelaki berkenaan.
BACA JUGA Kejayaan perniagaan syarikat Malaysia di Brazil buat Presiden Lula kagum