Kejayaan perniagaan syarikat Malaysia di Brazil buat Presiden Lula kagum

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru syarikat Malaysia agar keluar dari zon selesa dan meneroka pasaran baharu melalui platform BRICS, yang menurutnya membuka ruang perdagangan di luar negara.

Beliau berkata, Presiden Brazil, Luiz InĂ¡cio Lula da Silva kagum apabila dimaklumkan tentang kejayaan syarikat Malaysia seperti Yinson dan Petronas di negaranya.

Kejayaan itu disifatkan Anwar sebagai lambang kerjasama strategik antara dua negara dan bukti keupayaan syarikat Malaysia bersaing dalam ekonomi pesat membangun.

Perdana Menteri berada di Rio De Janeiro atas jemputan Presiden Brazil, Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang berlangsung dari dua hari bermula hari ini.

“Kejayaan syarikat seperti Petronas dan Yinson di Brazil membuktikan keupayaan kita bersaing di ekonomi pesat membangun.

“,Malah Presiden Brazil, Lula da Silva turut kagum apabila dimaklumkan tentang jejak perniagaan Malaysia di negaranya, bukti potensi besar yang harus terus kita teroka,” katanya.

Perkara itu dikongsi beliau semasa menghadiri majlis makan malam anjuran Yinson Holdings Bhd yang meraikan kejayaan pengeluaran minyak pertama FPSO Atlanta – projek ketiga Yinson di Brazil.

FPSO Atlanta dibangunkan bagi pihak Brava Energia dan menjadi simbol hubungan erat Malaysia–Brazil di tengah persidangan BRICS 2025.

Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kejayaan teknikal, malah menjadi lambang kerjasama strategik yang erat dan komitmen bersama ke arah kemajuan dan kesejahteraan kedua-dua negara.

Yinson, pemilik dan pengendali kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), mempunyai tiga projek di Brazil sejak 2023 iaitu FPSO Anna Nery, FPSO Maria Quiteria dan FPSO Atlanta.

Sementara Petronas terbabit dalam aktiviti pengeluaran minyak di Brazil dan pada tahun lalu turut membuka stesen minyaknya di negara ini.

BACA JUGA Azmin Ali buka mulut selepas tersebar dakwaan ibu pejabat PN dah tutup