Masa untuk tarik pelaburan, misi perdagangan ke Perancis jana potensi RM4 bilion

Lawatan perdagangan dan pelaburan Malaysia ke Perancis yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM4 bilion serta potensi eksport sebanyak RM675 juta, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dalam misi yang berlangsung pada 4 Julai itu, Anwar mengadakan pertemuan bersama 40 wakil daripada sektor perindustrian utama Perancis.

Beberapa syarikat antarabangsa telah menyuarakan minat untuk melabur dalam pelbagai bidang strategik seperti pembuatan berteknologi tinggi, aeroangkasa, tenaga boleh baharu, pelancongan dan hospitaliti, ekonomi digital serta infrastruktur mampan.

Menurut MITI, sektor eksport berpotensi RM675 juta melibatkan industri berimpak tinggi.

“Bagi potensi eksport, RM675 juta dijana untuk sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, automotif, tenaga boleh baharu, farmaseutikal, ekonomi digital, gaya hidup dan industri halal.

“Ini adalah sektor yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Pelaburan Hijau,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa syarikat-syarikat terbabit melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik berikutan beberapa faktor utama seperti kestabilan dasar, ketersediaan tenaga kerja berkemahiran, serta rantaian bekalan domestik yang cekap.

Syarikat terbabit turut berkongsi hasrat untuk terus melabur di Malaysia, didorong oleh faktor utama seperti ekosistem pelaburan yang kondusif, stabil dan dinamik; permintaan global yang menggalakkan terhadap produk buatan Malaysia; rantaian bekalan domestik yang cekap; tenaga kerja berkemahiran tinggi; dan dasar kerajaan yang mesra pelabur.

Delegasi misi perdagangan ini disertai Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama wakil dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Tengku Zafrul berkata hasil positif daripada misi tersebut memperlihatkan kepercayaan berterusan pelabur asing terhadap kekuatan asas ekonomi negara.

“Kejayaan keseluruhan misi itu mencerminkan keyakinan berterusan syarikat asing terhadap dasar mesra pelabur, ekosistem rantaian bekalan, daya saing dan potensi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Potensi pelaburan dan perdagangan yang bakal direalisasikan itu juga akan menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, dan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Semua ini adalah kunci dalam memacu agenda transformasi ekonomi Madani kita,” katanya.

Misi ke Perancis merupakan sebahagian daripada rangka lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Eropah dan Amerika Selatan dari 1 hingga 8 Julai 2025.

BACA JUGA Terbongkar penceramah sebar video seks rupanya terlibat banyak penipuan