Penceramah bebas sah tiada tauliah, MAIS tegur masjid pantau setiap penceramah undangan
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan seorang penceramah bebas yang disiasat berhubung kes penyebaran video seks isteri-isterinya, tidak mempunyai tauliah mengajar agama di negeri itu.
Pengerusinya, Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata, MAIS telah menarik tauliah mengajar individu berkenaan sejak 2022 lagi.
Malah, ustaz tersebut juga pernah ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada September 2024 kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah yang bersalahan dengan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“Kes berkenaan masih dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah dan seorang individu yang juga merupakan salah seorang pentadbir surau turut disiasat kerana disyaki telah menyebabkan ceramah tanpa tauliah tersebut berlaku.
“MAIS menegaskan bahawa pihak JAIS sentiasa memantau rapat perkara tersebut dan tindakan undang-undang dan tatatertib yang sewajarnya akan diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada laporan berita penahanan seorang penceramah bebas oleh pihak polis kerana disyaki melakukan perbuatan jenayah.
Beliau juga menzahirkan rasa kesal terhadap sikap beberapa individu yang masih terus mengajar agama Islam di Selangor walaupun tidak mempunyai tauliah mengajar ataupun tarikh tauliahnya telah luput.
Jelasnya, semua kejadian yang berlaku itu disebabkan terdapat segelintir pentadbir masjid dan surau yang tidak mengambil berat untuk memantau penceramah-penceramah yang mengajar di masjid dan surau mereka agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
“Sikap sebegini hanya akan mengundang persepsi negatif masyarakat dan memberi imej yang buruk terhadap agama Islam dan agensi Islam.
“Malah, jika perkara ini dibiarkan, ia boleh menyumbang kepada berlakunya penyelewengan dalam pengajaran agama Islam yang sebenar mengikut pegangan Ahli Sunnah Waljamaah yang boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya lagi.
Sehubungan itu, MAIS mengingatkan pihak masjid dan surau di Negeri Selangor dan semua umat Islam agar sentiasa memastikan penceramah agama yang diundang mempunyai tauliah mengajar agama Islam yang dikeluarkan oleh MAIS atau telah mendapat pengecualian sewajarnya daripada MAIS menurut undang-undang yang berkuat kuasa.
BACA JUGA Himpunan Turun Anwar lesu, ahli Pas tak ramai walau buat di kubu KP Pas Selangor