Padah buat komen jelik terhadap Agong, suri rumah dihadap ke mahkamah

Padah membuat hantaran bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini.

Suhaila Abd Halim, 39 selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa memuat naik komen berunsur jelik di akaun Facebook miliknya pada Januari lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Mengikut pertuduhan, Suhaila secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Ibu kepada enam anak itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.

Sabit kesalahan dia boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Suhaila yang tidak diwakili peguam dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan kepada RM500 dengan alasan suaminya adalah penanggung tunggal keluarga.

Hakim kemudian membenarkan ikat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

BACA JUGA Setpol PM sekolahkan pembangkang, urusan rasmi PM bukan pergi ‘jalan-jalan’