Setpol PM sekolahkan pembangkang, urusan rasmi PM bukan pergi ‘jalan-jalan’

Setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Farhan Fauzi menyanggah dakwaan segelintir Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa lawatan kerja rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya ‘jalan-jalan’.

Dalam satu kenyataan balas hari ini, Farhan menyifatkan pembangkang sebagai “bebal” dalam memahami impak kekalutan geopolitik dan geoekonomi yang sedang melanda dunia.

Faktanya, setiap lawatan rasmi Perdana Menteri membawa agenda besar kepada negara.

“Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, pendekatan diplomasi ekonomi yang dipimpin Perdana Menteri telah berjaya;

1) Meluluskan pelaburan bernilai RM378 bilion pada 2024, naik 14.9 peratus berbanding tahun sebelumnya;

2) Menyumbang kepada nilai dagangan keseluruhan RM2.88 trilion, peningkatan 9.2 peratus; dan

3) Mengekalkan nisbah dagangan-KDNK sekitar 130 peratus, sambil menegaskan kedudukan Malaysia sebagai ekonomi terbuka.

Dibandingkan dengan era pentadbiran Perikatan Nasional, Farhan menyifatkan kepimpinan terdahulu sebagai “tidak terkehadapan” dalam mempromosi Malaysia di pentas antarabangsa, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur.

“Akuilah hakikat ini yang terserlah dalam lipatan sejarah krisis politik negara. Era kepemimpinan tempang, lemah dan ketandusan idea ibarat seperti ‘seekor belalang di tepi lautan’ itu sudah lama berlalu sejak Kerajaan MADANI memandu negara kita.

“Di bawah kepimpinan MADANI, dunia kembali memandang Malaysia sebagai rakan yang berprinsip, stabil dan berpotensi,” tegasnya.

Pada masa sama beliau menasihatkan pembangkang atau “tokoh-tokoh berminda kecil” untuk memahami dan mengenali rakyat dengan lebih baik kerana rakyat tidak berminda seperti mereka.

BACA JUGA Bukan biasa-biasa, Ringgit Malaysia tersenarai Top 20 mata wang berpengaruh dunia