Papagomo, see you in court, ini penjelasan Asyraf tentang lembu korban Grik

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa beliau akan saman fitnah RM1 juta terhadap aktivis pembangkang Wan Muhammad Azri Wan Deris yang lebih dikenali sebagai Papagomo.

“Tuduhan ini amatlah melampau, mengaibkan dan menjejaskan reputasi saya. Kita jumpa di mahkamah. Saya akan saman RM1 juta. Budaya fitnah seperti ini tidak boleh dibiarkan,” kata Asyraf.

Ini ekoran dua fitnah yang dibuat oleh Papagomo terhadapnya.

“Tular satu lagi siri fitnah oleh Papagomo atau nama sebenarnya Azri yang mendakwa kononnya saya mengagihkan tender makan dan projek-projek MRSM kepada Ketua-Ketua UMNO Bahagian dan menggunakan duit MARA untuk beli lembu korban di Gerik.

“Astaghfirullah, sejak bila saya terlibat dengan tender makan MRSM?

Seluruh Malaysia tahu, saya sendiri #Terjah ke MRSM termasuk Dewan-Dewan Selera untuk pecahkan kartel yang antara penyebab kualiti penyediaan makanan yang menurun demi memastikan kebajikan dan keselesaan buat anak-anak pelajar.

“Sebagai Pengerusi MARA, saya tiada kuasa bahkan tidak pernah terlibat dalam mana-mana mesyuarat tender perolehan MARA kerana tidak mempunyai kuasa eksekutif.

“Tetapi sebagai pengerusi, saya mengambil tanggungjawab bersama ahli-ahli Majlis MARA untuk perketatkan aspek tadbir-urus MARA bagi memastikan tiada ruang untuk salah guna kuasa berkaitan isu-isu tender seperti ini.”

Fitnah kedua pula membabitkan pengagihan lembu korban di Gerik

“Satu lagi FITNAH JAHAT beliau ialah lembu-lembu korban yang diagihkan kepada penduduk-penduduk Gerik adalah menggunakan duit MARA.

“Untuk pengetahuan semua, lembu-lembu itu semua adalah hasil sumbangan individu-individu dan sahabat-sahabat saya yang berniat korban untuk disumbangkan di Gerik dan Pasir Puteh Kelantan.

“TIDAK ADA SATU SEN PUN WANG MARA digunakan untuk membeli lembu-lembu korban seperti yang difitnah.”

BACA JUGA: Himpunan Turun Anwar lesu, ahli Pas tak ramai walau buat di kubu KP Pas Selangor