Rafizi dan ahli parlimen kerajaan mahukan RCI, JK Parlimen siasat kemelut kehakiman
Sekumpulan ahli parlimen kerajaan dari PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Rafizi Ramli mahukan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan-dakwaan yang berlegar berkaitan kemelut kehakiman.
“Kami mencadangkan agar satu Suruhanjaya Diraja juga ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan-dakwaan yang berlegar,” kata Rafizi dalam satu sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Subang.
Tambahan pula, beliau turut berkata bahawa satu permohonan akan dibuat kepada Jawatankuasa Khas Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan berhubung perkara ini.
“Kami akan memohon secara rasmi supaya satu prosiding dan siasatan dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi), termasuk memanggil Perdana Menteri untuk memberi keterangan.
“Kami akan menulis secara rasmi kepada Pengerusi JKPK, YB William Leong dan setiap anggota JKPK,” kata beliau.
Rafizi menambah pelantikan hakim sewajarnya dibuat berdasarkan pencalonan JAC dan pencalonan hanya dibuat selepas siasatan oleh RCI dan JK Parlimen dibuat.
Pengumuman ini dibuat ekoran kemelut di dalam sistem kehakiman negara.
Beliau menjelaskan bahawa beliau dan ahli parlimen membangkitkan isu ini kerana mahu “mempertahankan kebebasan institusi kehakiman adalah salah satu tonggak utama perjuangan PKR dan Pakatan Harapan.”
Empat isu yang membawa kepada sidang akhbar hari ini adalah kerana:
a) kerajaan tidak mengambil tindakan pada kadar sewajarnya yang menyebabkan kekosongan di dalam kehakiman mendesak.
b) pencalonan bagi kekosongan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah pun diputuskan oleh JAC sebelum persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan dikemukakan kepada Perdana Menteri sebelum ini, tetapi pelantikan tidak dibuat sehinggalah menyebabkan kekosongan yang ada sekarang.
c) mesyuarat JAC telah dipanggil pada hari Jumaat lepas tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari, dengan tujuan untuk membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong.
d) pada satu mesyuarat JAC yang lepas, seorang Hakim Mahkamah Persekutuan telah dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan satu kes dan pertukaran hakim.
Rafizi turut mendedahkan bahawa hakim tersebut merupakan bekas pegawai khas mantan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang terpalit dalam skandal video VK Lingam.
Skandal video tersebut yang berlaku pada 2001 dan muncul pada 2007 melibatkan mantan peguam kanan VK Lingam berunding untuk menentukan pelantikan hakim tertentu.
Beliau menambah kebimbangan dalam kalangan peguam dalam isu ini adalah ia mirip kepada skandal video VK Lingam.
Selain daripada RCI dan JK Parlimen, Rafizi mengumumkan bahawa beliau akan menggerakkan kempen dalam kalangan ahli parlimen merentasi parti politik untuk mendapatkan sokongan dalam isu ini.
Di peringkat bawah pula, satu forum awam akan dibuat di seluruh negara bermula pada 13 Julai jam 8.30 malam di Kuala Lumpur.
Selain itu petisyen dalam talian akan digerakkan supaya kebebasan institusi kehakiman dipertahankan.
Ahli parlimen yang turut sama mahukan siasatan ini dibuat dari PKR ialah Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Bakthiar Wan Chik (Balik Pulau), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), S Kesavan (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).
BACA JUGA: Papagomo, see you in court, ini penjelasan Asyraf tentang lembu korban Grik