Terkini SPRM mohon lucut hak wang tunai lebih RM169 juta milik Ismail Sabri
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan untuk melucutkan hak wang tunai melebihi RM169 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi diserahkan kepada kerajaan Malaysia.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Sesyen hari ini.
Menurut laporan media, wang tunai itu melibatkan sejumlah besar mata wang tempatan serta asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang melanggar undang-undang.
Antara wang yang disenaraikan ialah RM14,772,150 dalam Ringgit Malaysia.
Manakala wang asing pula: SGD$6,132,350 (Dolar Singapura), AS$1,461,400 (Dolar Amerika) dan CHF 3 juta (Swiss Franc).
Selain itu, SPRM juga memohon agar wang tunai sebanyak €12,164,150 (Euro), ¥363,000,000 (Yen), £50,250 (Pound Sterling), NZ$44,600 (Dolar New Zealand), AED 34,750,000 (Dirham Emiriah Arab Bersatu) dan AU$352,850 (Dolar Australia) turut dilucutkan hak.
Berdasarkan notis permohonan yang difailkan, SPRM selaku pemohon menamakan bekas Setiausaha Politik Ismail Sabri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, 58, sebagai responden pertama, manakala Ismail Sabri, 65, sebagai responden kedua.
Permohonan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 selepas berpuas hati bahawa wang-wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri.
BACA JUGA Bukan biasa-biasa, Ringgit Malaysia tersenarai Top 20 mata wang berpengaruh dunia