Anggota bomba sebak cerita semula keadaan enam sekeluarga ditemui berpelukan

Seorang anggota bomba yang telibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam sekeluarga yang maut di Sungai Korok, Jerlun, menceritakan kembali detik dia dan pasukan menemui kereta mangsa.

Mohammad Hasri Haslan, 31, mengakui ini adalah penglaman paling menghibakan dalam tempoh 10 tahun dia bertugas.

Katanya, sebaik cermin belakang kereta Proton Iswara dipecahkan, dia dapat melihat kesemua mangsa dalam keadaan berpelukan di tempat duduk bahagian belakang.

“Saya tidak dapat menahan sebak, tiba-tiba air mata membasahi pipi apabila satu persatu jasad mangsa dibawa keluar dari dalam kereta.

“Inilah kes yang paling sayu dan tragis yang saya ikuti. Paling sedih dan tersentuh hati ketika saya dan kawan-kawan seperjuangan mengangkat jasad bayi enam bulan dan tiga kanak-kanak yang masih kecil,” katanya menurut Astro Awani.

Mohammad Hasri berkata, jasad pertama yang ditemuinya adalah kanak-kanak perempuan manakala yang kedua pula bayi lelaki berusia enam bulan dan yang ketiga adalah kanak-kanak lelaki.

Semalam, jasad enam sekeluarga yang hilang awal pagi Sabtu lalu selepas pulang bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman ditemui dalam kereta Proton Iswara di Sungai Korok.

Kesemua jenazah mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor, Karang di Jerlun kira-kira jam 11.50 malam tadi.

BACA JUGA ‘Usah kita terganggu dengan suara sumbang perlekeh usaha tarik pelaburan’