Terkini KKM umum insentif setara pakar untuk pegawai SWE, maksimum bayaran RM2,800

Semua pegawai perubatan yang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia atau Supervised Work Experience (SWE), tidak perlu lagi bimbang tentang elaun yang mereka layak terima.

Ini kerana kerajaan telag bersetuju meluluskan pelaksanaan Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta (BIPPW) kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh SWE selepas tamat latihan kepakaran.

Unit Komunikasi Korporat KKM menerusi pemakluman terbaru hari ini memaklumkan, bayaran BIPPW ini akan mula diberikan sebaik sahaja pegawai memulakan SWE.

Menurut kenyataan itu, kadar bayaran bagi BIPPW adalah sama seperti kadar bayaran bagi Bayaran Insentif Pakar (BIP) dan ditetapkan mengikut gred hakiki pegawai, melibatkan Gred 10 hingga 14.

Gred UD/UG 14: RM 2,800

Gred UD/UG 13: RM 2,500

Gred UD/UG 12: RM 2,200

Gred UD/UG 10: RM 1,900

SWE merupakan suatu tempoh percubaan yang perlu dilalui oleh semua pegawai perubatan setelah berjaya tamat latihan kepakaran.

Pegawai akan diselia oleh pakar perubatan yang lebih kanan bagi memastikan mereka kompeten dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pakar.

Untuk rekod sebelum Akta Perubatan 1971 dipinda pada tahun 2024, pegawai hanya akan menerima Bayaran Insentif Pakar (BIP) setelah berjaya menamatkan proses pewartaan.

Pelaksanaan BIPPW ini adalah selaras dengan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 [Akta A1729] yang mula dikuatkuasakan pada 1 Julai 2025.

“Pemberian insentif ini merupakan pengiktirafan terhadap komitmen dan beban tugas yang akan dipikul oleh pegawai sepanjang menjalani tempoh SWE, yang melibatkan pelaksanaan tugas seperti seorang Pakar Perubatan.

“la juga merupakan langkah signifikan ke arah penjagaan kebajikan warga kerja KKM, di samping meningkatkan motivasi dan memastikan kesinambungan perkhidmatan perubatan kepada rakyat,” kata kenyataan itu.

Dengan berkuat kuasanya Akta A1729, semua latihan kepakaran yang dijalankan di negara ini adalah kini lebih teratur dari segi undang-undang.

BACA JUGA Siasat kesahihan minit mesyuarat JAC, dakwaan salah laku hakim – Ramkarpal