PN retak tiada hala tuju, berebut kuasa tanpa agenda rakyat

Retaknya kepercayaan sesama komponen pembangkang dalam Perikatan Nasional (PN) membuktikan gabungan tersebut tidak memiliki hala tuju yang jelas untuk rakyat, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berpendapat PN terus dibelenggu perebutan kuasa dalaman ketika mengulas kenyataan bercanggah antara pimpinan utama Pas dan Bersatu.

“Perbalahan terbuka mengenai siapa yang lebih layak menjadi Perdana Menteri, pelantikan jawatan, serta proses membuat keputusan menunjukkan PN bukan gabungan yang matang, tetapi terikat kepada kepentingan individu dan kelompok elit politik.

“Nak turunkan Anwar tapi berbalah sesama sendiri dan Bergaduh sapa nak jadi PM, ingatkan bertengkarnya Pas dan Bersatu nak hapus cukai SST atau nak turunkan harga barang lebih murah,” ujarnya.

Terdahulu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin secara terbuka menegur Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Bersatu mengenai pengurusan PN kerana membuat keputusan tanpa rundingan.

Walau bagaimanapun, Naib Presiden Bersatu, Datuk Ahmad Faisal Azumu menafikan dakwaan pemimpin Pas berkenaan.

Ahmad Faisal menyatakan semuanya dibuat secara konsensus dengan persetujuan Pas melalui mesyuarat majlis tertingi gabungan PN.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, ketika PN terus bergaduh soal kuasa, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus komited mengangkat isu rakyat daripada kos sara hidup, penciptaan pekerjaan, hingga usaha menarik pelaburan yang berkualiti.

“AMANAH menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan slogan palsu pembangkang yang kononnya bersatu mahu menurunkan Anwar.

“Padahal, mereka sendiri tidak sepakat menentukan hala tuju politik mereka,” kata Mahfuz lagi.

BACA JUGA Pembangkang hasut mahasiswa sertai himpunan Turun Anwar, ini pendirian tegas MPP UUM