AMANAH mahu bertanding kerusi DUN Kota Iskandar pada PRN akan datang
AMANAH Kawasan Iskandar Puteri bersedia untuk bertanding semula di DUN Kota Iskandar sebagaimana yang telah dilakukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan yang diadakan kelmarin, AMANAH bersetuju Pakatan Harapan (PH) wajar bertanding secara solo di dua kerusi DUN yang berada dalam Parlimen Iskandar Puteri, iaitu DUN Skudai dan DUN Kota Iskandar.
Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, ini merupakan bukti komitmen dan kesungguhan AMANAH dalam memperkukuh kekuatan PH di kawasan strategik ini, demi memastikan kesinambungan pentadbiran progresif dan inklusif untuk rakyat.
“AMANAH Iskandar Puteri juga menyatakan bahawa sebarang rundingan politik ke arah PRN Johor yang akan datang haruslah mengambil kira kekuatan akar umbi serta prestasi calon dan parti di kawasan masing-masing.
“Sehubungan itu, AMANAH bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan termasuk pertandingan tiga penjuru, sekiranya perlu, dengan membawa agenda perpaduan rakyat, reformasi institusi dan pembangunan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Dzulkefly, pendirian ini dibuat atas semangat memperkukuhkan Pakatan Harapan dan memastikan rakyat Johor terus mendapat pilihan terbaik dalam menilai parti dan calon yang berwibawa, berprinsip serta berpaksikan kepentingan rakyat, bukan agenda sempit politik kuasa.
BACA JUGA 87 peratus pelaburan diluluskan sudah berjalan, siapa kata lawatan PMX tak ada hasil?