Empat kaedah meningkatkan pakar patologi forensik
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan kementeriannya berhasrat mempunyai 148 pakar patologi forensik menjelang 2030.
Sehingga hujung bulan Jun, terdapat 56 pakar patologi forensik yang berkhidmat di 27 hospital KKM dan empat daripada mereka adalah pakar dalam interest forensic anthropology yang ditempatkan di tiga hospital.
Berikut adalah empat kaedah tersebut:
(a) bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi, dengan meningkatkan slot pengajian kepakaran Program Sarjana Perubatan daripada 1,100 slot kepada 1,600 slot bagi 23 bidang kepakaran mulai sesi 2023/ 2024. Bagi bidang Patologi Forensik, anggaran slot yang ditawarkan oleh 3 buah Universiti Awam bagi 5 tahun ke belakang adalah 10 slot setiap tahun.
Sehingga 30 Jun 2025, terdapat seramai 44 pegawai perubatan sedang mengikuti pengajian kepakaran bidang ini.
(b) menyediakan slot program Latihan Kepakaran Laluan Parallel tajaan KKM sehingga 600 slot setiap tahun melibatkan 14 bidang kepakaran. Bagi bidang Patologi Forensik, 5 slot diperuntukkan untuk mengikuti latihan kepakaran bidang ini. Sehingga 30 Jun 2025, jumlah pelatih Latihan Kepakaran Laluan Parallel dengan kelayakan Diploma of Jurisprudence, United Kingdom adalah seramai 4 orang.
(c) memantapkan program Latihan Kepakaran Laluan Parallel bagi bidang Patologi Forensik melalui penambahan kelayakan baru mulai tahun 2024 iaitu Fellowship of the Royal College of Pathologists of Australasia (FRCPA).
(d) menawarkan 7 bidang latihan Area of Interest kepada Pakar Perubatan Forensik dan antara bidang yang ditawarkan adalah Forensic Anthropology.
Perkara di atas telah dimaklumkan dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada Rodziah Ismail (PH-Ampang).
Rodziah bertanya mengenai pelan tindakan dan strategi untuk menangani ketandusan pakar forensik khususnya dalam patologi dan antropologi yakni 31 pakar patologi forensik berdaftar atau nisbah seorang bagi setiap 1.1 juta penduduk Malaysia.
BACA JUGA: Status Malbatt, kematian pakar patologi Hospital Lahad Datu tumpuan Dewan Rakyat