Malaysia tolak tekanan liberalisasi mutlak, rundingan dengan AS kekalkan dasar unik negara
Malaysia tidak mengorbankan kepentingan nasional demi mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya, rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) mengekalkan keunikan dasar negara termasuk pelindungan kepada industri strategik dan syarat Bumiputera, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“AS memberikan Malaysia kadar yang setara kerana pengiktirafan terhadap kepentingan Malaysia sebagai rakan dagang utama, serta keupayaan Malaysia menawarkan komitmen perdagangan dan pelaburan yang berkualiti, walaupun tanpa perlu membuka sepenuhnya semua sektor.
“Malaysia juga membuktikan kedudukan penting sebagai negara yang stabil, berdaya saing dan dipercayai dalam rantaian bekalan global,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri mengenai rundingan perdagangan timbal balas dengan AS.
Menurutnya, pencapaian kadar baharu itu membuktikan kalangan negara membangun seperti Malaysia boleh mendapatkan akses dagangan antarabangsa tanpa perlu tunduk kepada tekanan liberalisasi mutlak.
“Model ini juga memberi contoh kepada negara serantau bahawa ‘red lines’ boleh dipertahankan jika negara jelas dengan nilai, strategi, dan komitmen yang ditawarkan,” katanya.
Dalam masa sama, Zafrul turut mengingatkan bahawa AS merupakan sebuah negara rakan dagang yang amat penting untuk Malaysia.
Jelasnya, AS merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia dengan nilai eksport RM198.65
bilion dan antara sumber pelaburan asing utama Malaysia bagi tahun 2024 berjumlah RM32.82 bilion.
“Oleh itu, kita tidak boleh mengambil mudah sebarang perubahan dasar perdagangan AS kerana ianya akan menjejaskan dan memberi kesan negatif kepada Malaysia.
“Sebagai contoh, dianggarkan sehingga 100,000 pekerja – terutamanya di Pulau Pinang dan di
Kedah – akan berisiko kehilangan pekerjaan sekiranya barangan elektrik dan eletronik tidak dapat dieksport ke AS kerana tarif yang tinggi,” kata beliau lagi.
BACA JUGA PM Anwar berjaya tangani pelbagai cabaran getir, ini senarai buktinya