Aneh MP pembangkang pertahan kepentingan orang asing

Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan menurunkan defisit secara berfasa tanpa membebankan rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penurunan deficit itu antaranya melalui penyasaran subsidi yang membolehkan harga RON95 diturunkan untuk warga tempatan.

“Namun, ada Ahli Parlimen pembangkang yang anehnya memilih untuk mempertahankan kepentingan orang asing.

“Tanggungjawab kita jelas, lindungi rakyat Malaysia terlebih dahulu. Subsidi adalah untuk mereka yang layak, bukan untuk warga asing,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, menerusi Jawapan Bagi Pertanyaan Jawab Lisan yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan kerajaan berusaha memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh diterapkan supaya subsidi RON95 dapat meliputi kelompok yang disasarkan.

MoF berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang meminta kementerian itu menjelaskan status terkini pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 yang diumumkan oleh Kementerian Ekonomi berkenaan fasa front-end dan back-end.

Jelas MoF, rakyat terbanyak akan dapat menikmati harga RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter apabila penyasaran semula subsidi RON95 dilaksanakan melalui penggunaan MyKad.

BACA JUGA Tarif air: ‘Setengah mati kita kena pukul kalau…’