AMANAH nasihat Pas teliti dulu dokumen RMK13 sebelum fitnah Bumiputera dipinggir
AMANAH menyanggah dakwaan pembangkang kononnya kebajikan Bumiputera tidak diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak berasas.
Hakikatnya kata Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil, agenda pemerkasaan Bumiputera adalah salah satu tiang utama RMK13, termasuklah pemerkasaan usahawan, pegangan ekonomi, pemilikan kediaman dan peningkatan kemahiran tinggi.
“Sebaiknya pembangkang meneliti dokumen RMK13 secara adil supaya tidak mudah menabur fitnah,” kata Faiz dalam kenyataan pagi ini.
Faiz pada masa sama mencabar blok pembangkang membentangkan dasar bayangan RMK13 mereka kepada rakyat bagi membolehkan rakyat membuat penilaian adil kepada dasar ekonomi kedua-dua blok.
Setakat ini katanya, perbahasan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen amat mengecewakan.
Beliau memberikan contoh Ahli Parlimen Pasir Puteh dari Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh mendakwa usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar bercanggah dengan fitrah kejadian manusia.
Ahli Parlimen Tumpat, Mumtaz Md Nawi pula mempertikaikan mengapa RMK13 lebih nipis berbanding RMK12, tanpa menilai kualiti dasar yang dibentangkan.
Sementara Ahli Parlimen Pendang yang juga dari Pas, Datuk Awang Hashim, telah mengaitkan RMK13 dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969.
“Sebagai blok pembangkang, mereka sepatutnya mengemukakan hujah yang bernas, cadangan yang membina dan kritikan yang berasaskan fakta.
“Justeru, PN dicabar untuk membentangkan dasar bayangan RMK13 mereka kepada rakyat. Biar rakyat membuat penilaian adil kepada dasar ekonomi kedua-dua blok yang membolehkan satu budaya politik lebih matang dibina dalam negara ini,” ujarnya.
RMK13 adalah satu bukti kesungguhan kerajaan MADANI mengangkat kekuatan ekonomi Bumiputera.
Menurut Faiz, jurang wilayah dititikberatkan dalam RMK13 dan pembangunan di negeri-negeri pembangkang (SG4) yang majoriti penduduk adalah Bumiputera tidak dipinggirkan walaupun pemerintah berbeza politik.
Malah, berbekalkan inisiatif-inisiatif RMK13, dianggarkan ekonomi Kelantan akan berkembang pada kadar purata 4.7% setahun dalam tempoh RMK13 berbanding 4.2% (RMK12).
Ekonomi Kedah akan berkembang 5.1% purata setahun (RMK13) berbanding 4.7% (RMK12), ekonomi Perlis akan berkembang 4.9% (RMK13) berbanding 4% (RMK12) dan ekonomi Terengganu akan berkembang 4.8% (RMK13) berbanding 4.5% (RMK12).
“Malahan, angka-angka anggaran pertumbuhan bagi keempat-empat negeri ini adalah jauh lebih tinggi daripada kadar RMK11,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Selepas teruk kena kecam, kakitangan kerajaan ini mohon maaf