Kes kematian Zara Qairina: Peguam Negara arah tentukan sama ada terdapat unsur jenayah

Jabatan Peguam Negara mengarahkan supaya satu inkues diadakan bagi menyiasat kematian Zara Qairina Mahathir iaitu pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah.

Menerusi satu kenyataan, Jabatan Peguam Negara memaklumkan, keputusan tersebut dibuat susulan laporan siasatan yang baru-baru ini dikemukakan oleh polis.

“Setelah Jabatan ini meneliti laporan siasatan yang telah dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina pada 12 Ogos 2025, Jabatan ini memutuskan agar inkues dijalankan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

“Prosiding inkues ini bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina,” kata Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan itu.

Zara Qairina Mahathir meninggal dunia pada usia 13 tahun.

Jelas Jabatan Peguam Negara lagi, proses tersebut akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang.

Pada pagi 3 pagi, 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama.

Mangsa yang dikatakan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Pemergian tragis Zara mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.

Malah, Noraidah Lamat, 45, iaitu ibu Zara memberitahu beliau mempunyai rakaman perbualan telefon dengan anaknya yang memaklumkan terdapat pelajar senior sering menganggunya.

Perkara itu disahkan oleh peguam yang mewakilinya, iaitu Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam satu kenyataan media pada 1 Ogos lalu.

“Pada 30 Julai 2025, anak guam kami telah memfailkan satu laporan polis tambahan di Balai Polis Sipitang memohon agar pihak polis menyiasat kes kematian Zara secara teliti.

“Ini kerana beliau mempunyai rakaman perbualan telefon dengan Zara yang mana anaknya memaklumkan bahawa terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu atau membulinya.

“Antaranya ialah ‘Kak M’ yang pernah mengugut Zara dengan berkata ‘kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni,” katanya dalam kenyataan itu.

BACA JUGA Saman cabar kesahihan Ahli Parlimen Anwar tiada asas undang-undang