Serangan ke atas anak Rafizi: Nurul Izzah gesa pihak berkuasa bertindak
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengutuk kejadian serangan terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, kelmarin.
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu untuk bertindak segera, menyiasat dengan telus serta memastikan pelaku dibawa ke muda pengadilan tanpa kompromi.
“Tiada seorang pun kanak-kanak sepatutnya terdedah kepada bahaya sebegini. Tindakan sebegini bukan sahaja merupakan jenayah besar malah telah melanggar prinsip asas kemanusiaan,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Instagram.
Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, sebagai seorang manusia dan ibu, beliau memahami keresahan serta kegusaran yang sedang ditanggung oleh Rafizi dan keluarganya.
Kelmarin, dalam pada 1.45 tengah hari di pusat beli-belah di Putrajaya, anak Rafizi berusia 12 tahun diserang dan disuntik jarum mengandungi cecair oleh dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar yang menunggang motosikal.
Susulan itu, polis setakat ini telah merakam keterangan daripada enam individu termasuk anak Rafizi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Amat mengerikan
Mengulas lanjut, Nurul Izzah menyifatkan serangan ke atas anak bekas Menteri Ekonomi berkenaan yang berusia 12 tahun itu amat mengerikan.
“Saya berasa amat terkesan kerana sejak beberapa minggu kebelakangan ini, saya menumpukan perhatian kepada usaha melindungi murid-murid sekolah daripada ancaman dan buli di alam maya,” katanya.
Ujarnya, politik boleh menjadi medan pertarungan idea dan pandangan tetapi keselamatan anak-anak serta keluarga tidak harus menjadi taruhan atau alat tekanan.
“Jika hari ini kita tidak mengambil tindakan tegas untuk mencegah ancaman dan intimidasi, negara kita bakal kehilangan segala harapan.
“Ancaman seperti ini mesti ditangani dengan usaha yang tegas dan menyeluruh daripada pihak berkuasa agar ia tidak memusnahkan negara,” kata Nurul Izzah lagi.
BACA JUGA Isu Jalur Gemilang: ‘Jangan jadi lebih sudu dari kuah’