Rampasan hasil rasuah cecah hingga RM5 bilion, apa kata PM Anwar?

Rampasan kira-kira RM5 bilion daripada kegiatan rasuah dalam tempoh satu hingga dua tahun lalu menjadi bukti kecekapan dan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memerangi rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu menjadi bukti usaha serius kerajaan di sebalik kata-kata sinis dan sindiran sesetengah pihak terhadap usaha keras dalam membanteras gejala berkenaan.

“Ada orang menyindir dan sinis dengan soal tatakelola dan gerakan keras antirasuah.

“Saya nak beritahu berapa yang kita kumpul dalam satu ke dua tahun ini, di semua agensi, daripada orang politiknya ke jabatan, kementeriannya, daripada imigresennya kepada kastamnya.

“Berapa kita kumpul? Dah, RM4 bilion hingga RM5 bilion wang yang dirampas daripada hasil perasuah,” kataNYA.

PMX berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral hari ini.

Menurut Perdana Menteri, tatakelola yang baik menjadi asas penting dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan dapat dilakukan dengan berkesan.

“Hal ini (tatakelola) termasuk semua bidang, latihannya, kecanggihan, keupayaan kita menguasai AI (kecerdasan buatan) dan sebagainya.

“Jadi, saya harap projek ini (Ipoh Sentral) dapat dijadikan contoh,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Dah tiga tahun Anwar jadi PM tapi PN masih sibuk tunggang isu keabsahan