Ini bukan sebab anak VVIP, ini undang-undang Malaysia, kata peguam keluarga Zara
Kerahsiaan identiti lima remaja yang dituduh berkaitan kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir adalah mengikut ketetapan undang-undang dan bukannya unsur permainan ‘orang atasan’ atau VVIP.
Peguam, Hamid Ismail yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara berkata, larangan mendedahkan identiti itu termaktub di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang melarang sebarang penyiaran membabitkan kanak-kanak.
Menurutnya, penegasan itu dibuat bagi mengelakkan salah faham masyarakat mengenai sebab identiti lima remaja terbabit tidak didedahkan dalam prosiding pendakwaan yang berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada Rabu.
“Bagi kanak-kanak, banyak perkara yang tidak boleh didedahkan kerana wujud Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang menghalang penyiaran mengenai kanak-kanak tersebut sama ada melalui tempat tinggal, nama atau ibu bapanya.
“Secara ringkas, melalui seksyen ini identiti kanak-kanak adalah dirahsiakan sama ada dalam tempoh perbicaraan atau semasa siasatan.
“Bukannya sebab orang ternama (VVIP) atau disuruh sesiapa. Tidak, itu adalah undang-undang Malaysia.
“Jadi, jangan salah sangka ini permainan ‘orang atas.
“Ini adalah undang-undang kita, Seksyen 15. Boleh baca Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding pertuduhan terhadap lima remaja itu berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu hari ini.
Dalam masa sama, Hamid menafikan dakwaan Peguam Negara yang menganggap kenyataan pasukannya semalam sebagai berbaur spekulasi.
“Itu bukan spekulasi, kami buat kenyataan itu berdasarkan apa yang ada setakat ini,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Nyaris dijerut dawai, pelajar di Kelantan dilondeh seluar, dibelasah enam pembuli