Polis buka semula kertas siasatan pelajar tahfiz Faris, kata Menteri KDN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan pada Disember 2013.

Beliau berkata, pihaknya tiada masalah untuk berbuat demikian kerana kertas siasatan sudah pun siap, namun ketika itu (2013), Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bertindak mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut.

“Sekarang keluarga (Wan Ahmad) Faris kata ada kewajaran dilihat semula, saya hendak bagi tahu… ya, polis akan buka semula.

Saifuddin Nasution Ismail

“Saya sudah bincang dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah apa yang menghalang kita untuk tengok semula (kertas siasatan).

“Polis kata tiada masalah apa-apa untuk buka balik kertas siasatan itu kerana ia sudah lengkap,” kata beliau menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar).

Saifuddin berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Menyayat hati

Kes menyayat hati melibatkan Wan Ahmad Faris, bermula pada Disember 2013 apabila pelajar berusia 16 tahun Ketika itu ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.

Bedah siasat pada awalnya mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kematian mengejut tanpa kaitan dengan unsur jenayah.

Namun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian pelajar Tingkatan Empat itu sebenarnya adalah akibat dibunuh oleh individu yang masih belum dikenal pasti.

Wakil peguam keluarga, Alias Ibrahim yang mengendalikan kes tersebut sejak 12 tahun lalu berkata, beberapa keterangan penting dirumuskan dalam prosiding inkues pada 2016 lalu sepatutnya mencukupi untuk siasatan jenayah dimulakan.

Menurutnya, terdapat beberapa bukti penting seperti nama suspek, laporan polis serta penemuan sampel DNA pada kain pelikat yang dijumpai bersama mangsa, juga sepasang selipar di lokasi mayat Allahyarham dijumpai.

“Namun, sebagai peguam saya kecewa dan terkilan kerana barangan bukti penting seperti DNA dan cap jari tidak dianalisis secara menyeluruh walaupun maklumat berkenaan sudah dikemukakan semasa prosiding koroner.

“Bukti dan keterangan dikemukakan di Mahkamah Koroner pada 2016 sudah mencukupi.

“Namun, mungkin ia tidak kukuh sepenuhnya bagi menghidupkan siasatan dan pertuduhan jenayah,” kata Alias kepada pemberita semasa Himpunan solidariti Keadilan untuk Faris di Dataran Warisan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, 16 Ogos lalu.

@malaysiagazette

Kertas Siasatan Kematian Wan Ahmad Faris Pada 2013 Akan Dibuka Semula – Saifuddin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013. malaysiagazette dewanrakyat pdrm #wanahmadfaris

♬ original sound – malaysiagazette – malaysiagazette

BACA JUGA Nyaris dijerut dawai, pelajar di Kelantan dilondeh seluar, dibelasah enam pembuli