Khalid mahu pembangunan semula Kg Baru ikut master plan, elak pembangunan secara runcit
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menegaskan bahawa pembangunan semula Kampung Baru mesti dilakukan mengikut pelan induk (master plan) demi mengelakkan pembangunan secara runcit berlaku di kawasan emas itu.
Menurut Khalid, semasa beliau menerajui kementerian itu, sebuah master plan lengkap telah disediakan melibatkan pembangunan perumahan dengan nisbah plot 1:10 yang mampu menambah bilangan penempatan orang Melayu di kawasan bandar.
Jelas beliau, pelan tersebut akan memastikan pembangunan Kampung Baru lebih tersusun, moden dan mampu menghapuskan imej setinggan.
“Semasa saya jadi menteri wilayah, saya telah guna master plan yang disediakan oleh satu syarikat arkitek reka bina yang tersohor iaitu Veritas yang dia reka untuk keseluruhan tanah Kampung Baru. Saloma Link adalah sebahagian daripadanya
“Kalau sekarang ada 500 geran, bila lakukan pembangunan 1 nisbah 10, bermakna akan ada 5,000 geran tapi dalam bentuk kondominium dan apartmen. Orang Melayu di kawasan bandar akan dapat ditambah,” katanya pada sidang media tengah hari tadi.
Beliau memberi amaran bahawa pendekatan pembangunan secara kecil-kecilan tanpa pelan menyeluruh hanya akan merugikan peluang kerajaan untuk menghasilkan satu penempatan orang Melayu yang terancang, moden, cantik dan tersusun.
Katanya, kerajaan perlu mempunyai master plan bagi membangunkan Kampung Baru supaya pembangunan itu kelak dilakukan secara tersusun dengan fasiliti yang baik sama seperti Bandar Madani di Putrajaya.
Bezanya, pembangunan semula Kampung Baru akan menjadi pembangunan komersial, manakala Bandar Madani pula dibina untuk menempatkan kuarters kakitangan kerajaan.
Khalid menganggarkan projek itu bakal memerlukan pelaburan sekitar RM7 bilion dengan potensi sumbangan kepada KDNK mencecah RM30 hingga RM35 bilion.
“Maknanya kalau tanah ni dibeli, bila kita jual semula kita hasilkan Melayu yang jutawan. Setiap satu keluarga boleh dapat RM8 juta. Dia boleh beli rumah baru atau rumah tempat lain. Kita boleh dapatkan jutawan Melayu,” katanya.
BACA JUGA Syukur SARA dah masuk, ada yang tak sedar layak bantuan bulanan sampai terkumpul RM500