TH ditadbir urus 100 peratus Bumiputera Muslim
Tabung Haji (TH) ditadbir urus sepenuhnya oleh pasukan pengurusan Bumiputera Muslim yang komited memperkukuh kedudukan institusi simpanan kewangan Islam itu.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi TH, pasukan mereka memastikan strategi operasi dan penjenamaan kekal relevan, serta membantu umat Islam menabung secara konsisten demi persiapan menunaikan ibadah haji.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mustakim Mohamad dilapor berkata, kos mengerjakan haji kian meningkat tetapi kadar simpanan pendeposit tidak berkembang dan kebanyakan pendeposit tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk mengerjakan ibadat haji.
“Bagi menangani masalah ini, TH sedang melaksanakan inisiatif penjenamaan untuk memperkasakan TH sebagai institusi simpanan Islam pilihan di mana umat Islam kekal menabung secara sistematik dan konsisten,” katanya dalam kenyataan.
Mustakim berkata, bagi mencapai matlamat penjenamaan itu, TH memerlukan kepakaran teknikal yang bersesuaian dan amalan itu adalah sama seperti contoh-contoh daripada sejarah Islam.
“Pengurusan TH dan urusan ibadat haji tetap dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang 100 Bumiputera Muslim, tetapi pelbagai sokongan teknikal diperlukan bagi inisiatif penjenamaan yang kompleks ini dan dibekalkan oleh konsortium yang dibentuk oleh TH,” katanya.
Mustakim berkata, TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan dan ini memerlukan evolusi strategi operasi dan jenama yang relevan, efektif dan bersesuaian dengan perubahan demografi yang dinamik.
Sehubungan itu, TH menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang maklumat yang tidak dipastikan kesahihan sumbernya dan mengikuti saluran media sosial rasmi TH untuk mendapatkan info tepat dan sahih.
BACA JUGA Pemuda PH tempelak Adun Pas, desak mohon maaf sebar dakwaan palsu