Tuduhan lawan fakta: RUU Pembangunan Semula Bandar

Oleh A. ZAHID

Sejak kebelakangan ini, banyak tuduhan dilemparkan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Tuduhan-tuduhan ini kedengaran sensasi, tetapi jika diteliti dengan fakta, gambaran sebenarnya jauh berbeza daripada yang diwar-warkan.

Pertama, ada dakwaan bahawa rumah akan diambil paksa apabila 75% pemilik setuju. Hakikatnya, angka 75% hanyalah syarat ambang untuk memulakan rundingan.

Baki pemilik masih berhak dirundingi dan dijamin pampasan adil di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Malah, PSB diwujudkan untuk mengelakkan pengambilan paksa tanpa kawal selia, sesuatu yang lebih melindungi, bukan menindas.

Kedua, ada suara mendakwa tanah kampung, rizab atau adat bakal terancam. Ini juga tidak benar. Tanah Rizab Melayu dan tanah kerajaan kekal sebagai rizab selepas penguatkuasaan PSB.

Dakwaan bahawa undang-undang ini akan “menghapuskan kampung tradisi” hanyalah retorik tanpa asas.

PSB meningkatkan keselamatan dan nilai kawasan setempat bukannya menggantikan kejiranan sedia ada dengan projek mewah seperti dijaja pembangkang.

Ketiga, soal pampasan dan rumah gantian. PSB secara jelas menjamin setiap pemilik mendapat unit baharu 1-to-1 di lokasi asal selain pampasan yang nilainya tidak kurang baik berbanding peruntukan undang-undang sedia ada.

Malah, pengalaman daripada projek-projek sebelum ini menunjukkan nilai hartanah boleh melonjak berkali ganda selepas pembaharuan semula.

Keempat, tuduhan bahawa PSB hanyalah alasan untuk menggantikan kejiranan lama dengan projek mewah juga meleset.

Tujuan utamanya ialah meningkatkan keselamatan dan menaikkan nilai kawasan, supaya pemilik asal menikmati manfaat langsung, bukan disisihkan.

Kelima, ada juga yang mendakwa hanya pemaju untung manakala rakyat rugi. Realitinya, pemaju wajib patuh pada syarat pampasan dan rumah gantian.

Bayangkan, sebuah rumah yang dulu bernilai RM70,000 kini boleh melonjak sehingga RM400,000 selepas pembaharuan, ditambah pula dengan unit gantian percuma.

Akhir sekali, ada yang cuba menggambarkan pegawai URA sebagai kebal undang-undang. Ini tidak tepat.

PSB malah lebih ketat berbanding akta lama, mewajibkan perlindungan hak pemilik, pampasan, dan penyelesaian pertikaian melalui Jawatankuasa Pengantaraan.

Ringkasnya, tuduhan liar terhadap PSB lebih bersifat politik daripada fakta. Jika benar kita mahu lihat bandar-bandar lama kembali bernyawa, yang perlu dikedepankan ialah kebenaran, bukan ketakutan.

BACA JUGA Demokrasi, solidariti, maruah di dalam nasionalisme Malaysia