Dulu buat cadangan sama bangunkan semula bandar tapi kini menentang, PMX tempelak pendirian PN
Perdana Menteri menempelak pendirian Perikatan Nasional (PN) berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PN ketika menerajui pentadbiran negara sebelum ini turut mengemukakan cadangan pembangunan semula rumah kos rendah.
“Saya mahu tanya dalam 33 bulan (pentadbiran PN) ada tak cadangan bangunkan rumah kos rendah… ada tak cadangan projek perumahan.
“Ada cadangan sebenarnya, saya tengok menteri terdahulu ada cadangan sama, pembangunan semula bandar dan kini (apabila Kerajaan MADANI) buat (pembangkang) tunjuk perasaan, menentang.
“Saya mahu tahu mana satu (pendirian menteri perumahan terdahulu)… kalau betul dia setuju dan ada beberapa kelemahan, betulkan tetapi jangan menentang (RUU PSB 2025),” tegas Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hamzah Zainuddin (PN-Larut) dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan tidak pernah meluluskan projek pembangunan yang hanya memihak kepada golongan berpendapatan tinggi.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu turut tidak akan mengizinkan sama sekali amalan tidak berintegriti.
“Orang kata kita mahu dukung golongan kaya, lihat semua projek diluluskan di Kuala Lumpur sekarang, mana yang boleh kita katakan hanya memihak kepada golongan kaya?
“Semuanya (dilengkapi) syarat sekolah vertikal, rumah rakyat. Ini kita letakkan syarat.
“Tidak umpamanya tambah satu tingkat, komisen RM5 juta. Ini tak diizinkan sama sekali,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA IMF pula naikkan unjuran ekonomi Malaysia, ini ikrar Menteri MITI