Gagal halang RUU Perolehan, pembangkang ‘koyak’ keluar dewan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini berang selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 diluluskan bacaan kedua melalui undian belah bahagi.
Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu mengajak ahli Parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat selepas hanya 63 undi menentang manakala 125 undi bersetuju.
Ahli Parlimen Larut berkenaan tidak puas hati kerana RUU tersebut tidak dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Kewangan dan Ekonomi.
Terdahulu, pembangkang cuba untuk menggagalkan RUU Perolehan Kerajaan 2025 daripada diluluskan dengan perbahasan hangat daripada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).
Namun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menjelaskan tindakan merujuk RUU itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas bukannya wajib perlu dilakukan.
Sebelum itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semasa penggulungannya berkata, RUU dibentangkan adalah merupakan komitmen kerajaan bagi memastikan setiap sen wang rakyat diurus dengan telus, cekap dan berintegriti.
“Dengan kerangka yang lebih teratur dan mekanisme penguatkuasaan yang kukuh, kita mampu mengelakkan ketirisan, menutup ruang salah guna kuasa dan mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.
“Kita di Dewan yang mulia ini berkongsi tekad yang sama untuk melihat negara terus maju dan rakyat menikmati kesejahteraan yang sewajarnya.
“Justeru, RUU ini menjadi bukti kesungguhan kita memperkukuh tadbir urus dan ketelusan perolehan kerajaan, agar wang rakyat diurus dengan penuh amanah, berhemah dan berintegriti demi kemakmuran negara,” kata Amir Hamzah lagi.
BACA JUGA IMF pula naikkan unjuran ekonomi Malaysia, ini ikrar Menteri MITI