Dua inisiatif rintis tangani masalah buli, ini cara Selangor

Selangor bakal melaksanakan dua inisiatif rintis dalam menangani masalah buli di semua sekolah di negeri yang menjadi jantung ekonomi dan pembangunan Malaysia ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, dua inisiatif tersebut akan memperkukuhkan kesihatan mental pelajar di bawah Modul Selangor Mental Sihat (SEHAT).

Jelasnya, inisiatif pertama adalah melibatkan kumpulan sokongan rakan sebaya dengan pelajar yang menjadi mangsa buli dapat mencari ruang selamat untuk berkongsi pengalaman serta menerima dorongan daripada rakan mereka.

“Kumpulan ini akan dibimbing dan dipantau oleh guru kaunselor bagi memastikan sokongan lebih teguh dan hala tuju sewajarnya dapat diberikan kepada mangsa.

“Ia bukan sahaja berfungsi sebagai tempat perlindungan, tetapi juga dapat menanam rasa empati, membina keyakinan diri dan menggalakkan pelajar untuk saling menyokong seterusnya dapat menguatkan semangat mereka (mangsa) untuk bangkit dan mengurangkan rasa keseorangan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamaliah Jamaluddin (tengah) mendengar penjelasan pelajar dalam satu program baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama berkenaan berkata, inisiatif kedua melibatkan pemerkasaan kompetensi guru dalam pengendalian kes buli di sekolah di seluruh sembilan daerah di negeri itu.

Menurutnya, kerajaan negeri kini mempertimbangkan untuk membangunkan sebuah modul latihan bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran guru, khususnya guru kaunselor dan guru disiplin dalam menangani kes-kes buli secara lebih berkesan dan menyeluruh.

“Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman terhadap punca-punca buli, faktor yang menyebabkan mangsa enggan melaporkan kejadian.

“Ini termasuk isu budaya senioriti atau ketakutan tiada tindakan diambil, serta memperkukuh penguasaan terhadap garis panduan sedia ada dalam pengurusan salah laku buli di sekolah,” katanya.

Jamaliah berkata, beberapa buah sekolah terpilih termasuk sekolah menengah khususnya sekolah berasrama dan sekolah yang dikenal pasti mencatat insiden buli yang tinggi.

“Projek ini akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor serta pakar psikologi pendidikan.

“Hasil pelaksanaannya akan dikongsikan bersama Kementerian Pendidikan sebagai cadangan pelaksanaan berskala lebih luas di peringkat kebangsaan,” kata Jamaliah lagi.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan sekolah rendah dan menengah di Selangor setakat ini adalah 939 buah, dengan jumlah pelajar seramai 891,966 orang.

BACA JUGA FGV kembali ke pangkuan Felda: Apa selepas ini?