Pesanan terakhir korban tular, gedung majlis perbandaran musnah diratah api
Sebuah gedung majlis perbandaran di bandar Makassar, timur Indonesia, malam tadi diratah api ketika protes membela kematian seorang pemandu teksi motosikal atau ojek, Affan Kurniawan, 21, belum reda.
Akibat kebakaran besar dengan api menjulang tinggi itu, sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan terbunuh.
Salah seorang korban adalah kakitangan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Makassar, Muhammad Akbar Basri atau Abay.

Lapor portal detikSulsel, Abay dilaporkan maut akibat terperangkap dalam kebakaran bersama pembantu anggota dewan bernama Sarina Wati di ruang perhubungan awam.

Abay pada mulanya berniat menyelamatkan Sarina yang terperangkap tetapi tindakan itu berakhir dengan kematian kedua-duanya.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam DPRD Makassar, Syahril, berkata insiden kebakaran bermula ketika keadaan di bangunan DPRD Makassar semakin mencemaskan.

Beliau segera mengarahkan semua anggota dewan, pegawai, termasuk staf, untuk menyelamatkan diri.
“Semasa proses evakuasi, rakan-rakan anggota dewan dan staf dimaklumkan supaya segera turun.
“Keadaan ketika itu sudah di luar kawalan, prosedur tetap tidak lagi berjalan dengan baik kerana pihak keselamatan tidak ada,” kata Syahril kepada detikSulsel.
Sementara itu, di media sosial tersebar tangkap layar hantaran mesej detik-detik terakhir hayat Abay pada jam 9.31 malam tadi.
“Bismillah. Mohon maaf kalau ada salahku semua. … dikepung… mohon doa …,” demikian antara mesej daripada Abay yang terpampang pada tangkap layar itu.
Dikatakan, usaha membawa keluar jenazah Abay dari bangunan yang dijilat api itu mengalami kesukaran berikutan gangguan balingan bom molotov oleh peserta demonstrasi.

Tunjuk perasaan di Indonesia semakin mengganas susulan kematian seorang penunggang motosikal e-hailing yang dilanggar kenderaan taktikal polis ketika pihak berkuasa cuba menyuraikan demonstrasi.
Affan Kurniawan, 21, dilaporkan maut selepas dilanggar dan digilis kenderaan taktikal polis Indonesia, Kor Briged Bergerak (Brimob), di Jalan Penjernihan, Jakarta Pusat pada 28 Ogos lalu.
Media Indonesia melaporkan Affan sempat cuba bangun selepas dilanggar tetapi kenderaan taktikal Brimob jenis ‘Barracuda’ itu dipercayai mengundur seketika sebelum memecut meninggalkan lokasi.
Kejadian menggemparkan berhampiran pangsapuri Bendungan Hilir II, Jakarta Pusat itu mengundang kemarahan awam termasuk dalam kalangan pengemudi Ojek yang berarak di jalan raya untuk menuntut keadilan.
Ribuan pemandu Gojek mengiringi jenazah Affan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Karet Bivak, Tanah Abang.
Tujuh anggota Brimob kemudiannya ditahan, dan Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo telah menemui keluarga mangsa untuk menyampaikan permohonan maaf rasmi.
BACA JUGA Ini penegasan PMX dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025